Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
104) SELANGOR MENTAL SIHAT (SEHAT)
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan inisiatif SEHAT secara lebih luas dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang?
Kerajaan Negeri giat menjalankan aktiviti promosi dan hebahan di semua platform bagi memperkenalkan inisiatif Selangor Mental Sihat (SIHAT).
Untuk jangka masa pendek, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai seterusnya mengurangkan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental . Antara aktiviti yang dijalankan ialah pembangunan kandungan berfakta dan mesra pengguna meliputi tajuk-tajuk yang dicadangkan oleh pakar. Kandungan tersebut akan digunakan untuk penghasilan bahan seperti poster, video dan risalah.
Bahan-bahan ini seterusnya akan disebarkan melalui saluran yang bersesuaian seperti di media sosial termasuk di Facebook, Instagram dan Tiktok, sebaran menerusi emel dan whatsapp, serta push notification di aplikasi Selangkah. Selain itu, SEHAT juga turut membuka reruai di setiap Lokasi Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dengan melaksanakan aktiviti bersama masyarakat setempat.
Bagi jangka masa panjang, strategi promosi SEHAT akan menumpukan kepada promosi secara terus atau “direct engagement” dengan kumpulan sasar di peringkat komuniti. SEHAT telah diperkenalkan dan dipromosikan di DUN-DUN melalui pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA). SUKA telah diberikan kit promosi mengandungi bahan edaran seperti banner, bunting dan broshur untuk diedarkan di lokaliti masing-masing. Selain itu, sukarelawan SUKA telah menjalani kursus asas berkenaan kesihatan mental sebagai salah satu usaha ke arah memantapkan promosi kepada komuniti tentang program SEHAT.
Melalui kolaborasi bersama rakan kerjasama, pelbagai aktiviti dijalankan seperti forum bersama para mahasiswa di universiti dan pelaksanaan modul kesihatan mental yang telah dibangunkan sebelum ini. Program mensasarkan kaum ibu dan wanita serta golongan kurang upaya di dalam perancangan untuk dilaksanakan melalui program Selangor Health Partnership (SELHEP). Selain itu, kolaborasi promosi dengan pelbagai pihak termasuk badan profesional, agensi kerajaan, NGO dan media akan diperluaskan lagi bagi memberi kesedaran kepada lebih ramai rakyat Selangor tentang pentingnya kesihatan mental serta tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan bantuan dan rawatan sekiranya perlu.