Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
307) SELANGOR MENTAL SEHAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa bilangan pengguna Selangor Mental Sehat setakat September 2023?
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada N20 (Lembah Jaya) No.154 dan N37 (Bukit Lanjan) No.313 (b) dan (c). Penjagaan kesihatan mental yang berkesan adalah sangat penting dalam memastikan individu dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik dan gembira. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) pada tahun 2021.
Melalui Program SEHAT, rakyat dapat menjalani saringan kesihatan mental secara percuma dan bantuan daripada kaunselor terlatih melalui Talian SEHAT di mana kedua-dua bantuan tersebut terdapat pada aplikasi SELANGKAH. Selain itu, terdapat juga video psikopendidikan yang dimuatnaik pada aplikasi tersebut. Bermula pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menambaik bantuan dengan memperkenalkan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi kepada individu yang memerlukan.
Bagi tahun 2023, Program SEHAT yang diterajui oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menjalankan program kesedaran dan saringan kesihatan mental melalui reruai yang dibuka semasa Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dan program-program anjuran Kerajaan Negeri di mana lebih daripada 1,601 orang pengunjung telah disaring. Manakala program saringan melalui aplikasi SELANGKAH pula telah mencatatkan lebih daripada 97,223 pengguna dan sejumlah 64,226 jumlah tontonan video-video psikopendidikan. Untuk Talian SEHAT pula, sehingga 30 September 2023, sejumlah 442 panggilan telah diterima.
Pada tahun 2023 juga telah diadakan sesi program outreach bersama pemimpin mahasiswa di 6 buah universiti di Negeri Selangor iaitu di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan pemerkasaan modul kesihatan mental bersama lebih 300 orang pemimpin mahasiswa.
-
Berapakah slot rawatan Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri yang telah digunakan dan peruntukan yang dibelanjakan setakat September 2023?
Berhubung dengan inisiatif subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal, sehingga 31 Oktober 2023, seramai 68 individu telah dijadualkan bagi menerima subsidi berkenaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15,980.00. Bagi tahun 2023, peruntukan bagi subsidi rawatan psikiatri dan psikologi adalah berjumlah RM209,400.00 melibatkan 950 slot rawatan. Program ini melibatkan kerjasama dengan klinik Selcare dan Persatuan Psikiatri Malaysia.