Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
167) SELANGOR MENCATATKAN BILANGAN KES DENGGI TERTINGGI DENGAN 748 KES PADA MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-39 IAITU DARI 25 SEPTEMBER HINGGA 1 OKTOBER 2022
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah program-program dan berapakah dana yang Kerajaan Negeri telah belanjakan untuk program menangani wabak denggi yang tidak berkesudahan sehingga kini?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam mengawal penularan kes demam denggi. Pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bersama agensi dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mengawal dan mencegah penularan wabak denggi. Setiap tahun Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan aktiviti pengawalan dan pencegahan demam denggi, di mana setiap aktiviti tersebut sama ada melibatkan program atau gerak kerja di mana-mana premis adalah mengikut standard garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Aktiviti utama yang dilaksana adalah seperti berikut :
- Penghapusan Tempat Pembiakan Nyamuk;
- Semburan Ruang Termal;
- Semburan ULV;
- Aktiviti Pendidikan Kesihatan Denggi; dan
- Aktiviti Penguatkuasaan / Perundangan
Bagi usaha jangka masa panjang yang sedang dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan turut dihadiri oleh semua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis dan sebagainya;
- Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk / ahli majlis / DUN agar dapat diambil tindakan bersama;
- Menggiatkan penggunaan repellant dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti;
- Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit demam denggi dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan lokaliti wabak denggi. Kesedaran ini dihebahkan melalui promosi kesihatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan membuka kiosk kesihatan di tempat-tempat berisiko, edaran risalah kesihatan, edaran abate, hebahan suara, penggantungan kain rentang di kawasan lokaliti wabak dan juga melalui media sosial;
- Memperkasakan peranan penduduk / agensi terlibat melalui penubuhan pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan;
- Penggunaan ubat racun Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes. Penggunaan ubat racun ini juga akan dipantau secara berkala oleh PKD berkaitan;
- Pelaksanaan aktiviti pemantauan dan pencegahan melalui dron terutama bagi kawasan atau lokaliti yang sukar dikesan. Sehingga 21 November 2022, sebanyak 6 lokasi telah dipantau dan langkah pencegahan sewajarnya telah diambil;
- Menjalankan aktiviti gotong royong bersama semua agensi yang terlibat di semua daerah. Aktiviti Gotong Royong Siri 2 Peringkat Negeri telah dilaksanakan pada 29 Oktober 2022 di PKD Hulu Langat;
- Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes Di Tempat Kerja dan Kuarters;
- Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah; dan
- Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Melalui Akta ini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 8. Melaluinya, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis akan di ambil. Jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan.