Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
48) SELANGOR KERJAYA
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan bilangan penempatan kerja yang ingin dicapai Selangor Kerjaya bagi 2021.
Sasaran bilangan penempatan kerja di bawah Program Selangor Kerjaya bagi Tahun 2021 adalah 2,000 pekerjaan. Setelah mengambil kira keadaan semasa, termasuk penawaran pekerjaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang telah berlarutan sehingga 16 Julai 2021 di 34 mukim di negeri Selangor, sasaran tersebut telah disemak semula dan dipinda kepada 1,000 pekerjaan sehingga penghujung tahun 2021.
-
Nyatakan bilangan pekerja yang berjaya ditempatkan setakat ini.
Sehingga 31 Oktober 2021, seramai 2,831 orang telah dipadankan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan dan 2,236 orang telah disenarai pendek untuk temuduga oleh majikan. Daripada jumlah tersebut, hanya 1,192 orang telah menghadiri sesi temuduga manakala seramai 541 orang telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan.
-
Adakah Kerajaan Negeri berpuas hati dengan prestasi di atas? Jika tidak, nyatakan langkah-langkah penambahbaikan.
Program Selangor Kerjaya yang dilancarkan pada 26 Januari 2021 merupakan solusi pemadanan pekerjaan yang komprehensif bagi penempatan pekerjaan dengan menggunakan kaedah profiling, job matching, placement dan upskilling. Program ini menyasarkan penempatan pekerjaan kepada 10,000 orang dalam tempoh 3 tahun sehingga tahun 2024.
Bagi tempoh enam (6) bulan pertama tahun 2021, Selangor Kerjaya telah memberi tumpuan khusus dalam pengumpulan data yang melibatkan pendaftaran bakat atau tenaga kerja yang sedang mencari pekerjaan dan penilaian profil peserta di samping mendaftarkan pihak majikan yang ingin menawarkan pekerjaaan, termasuk maklumat pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak majikan.
Sehingga 31 Oktober 2021, seramai 16,727 orang tenaga kerja telah berdaftar dengan Selangor Kerjaya. Hanya 13,293 orang layak mengikuti program ini, manakala seramai 6,868 orang peserta telah memanfaatkan kemudahan ujian profiling yang telah disediakan di bawah Selangor Kerjaya.
Sekiranya dinilai dari segi bilangan penempatan kerja dalam tempoh masa 10 bulan ini, pencapaian program ini boleh ditambahbaik. Tujuan utama Program Selangor Kerjaya adalah pengurusan bakat dan tenaga kerja yang melibatkan pengumpulan maklumat berhubung permintaan dan penawaran pekerjaan serta mengenalpasti jurang kompetensi tenaga kerja berbanding pekerjaan yang ditawarkan.
Dalam menangani masalah pengangguran, Selangor Kerjaya juga cuba menyelesaikan masalah ketidakpadanan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang bakat atau tenaga pekerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak majikan.
Sehubungan dengan itu, semua peserta yang berdaftar dengan Selangor Kerjaya berpeluang untuk mengambil ujian profiling bagi menilai kemampuan kognitif, keperibadian, tingkah laku dan kemahiran berdasarkan Universal Competency Framework yang akan dipadankan dengan profil pekerjaan bagi menentukan kesesuaian peserta kepada peluang kerja yang ditawarkan.
Bagi meningkatkan tahap kemahiran, calon yang berjaya ditawarkan pekerjaan akan menjalani bimbingan kerjaya dan latihan untuk meningkatkan kemahiran, sekiranya diperlukan oleh pihak majikan, serta menjalani latihan upskilling secara dalam talian selama setahun, di mana sijil penyertaan akan dikeluarkan. Pemantauan dalam bentuk mentoring juga akan diadakan secara berkala dalam tempoh setahun tersebut.
Program ini juga sedang membangunkan pangkalan data bakat dan pekerjaan untuk membolehkan penganalisaan data dari sistem profiling dan pangkalan data yang menjadi kunci bagi merancang program pemulihan semula ekonomi serta menangani isu pengangguran dalam kalangan warga Selangor dalam jangka masa dekat terutamanya impak daripada COVID-19 dan bagi kesan jangka panjang iaitu akan dapat menyelesaikan ketidakseimbangan dan ketidakpadanan pekerjaan dalam pasaran buruh di Selangor dengan lebih tepat.
Memandangkan profiling penentu pemadanan bakat dan pekerjaan, indikator yang mungkin perlu ditingkatkan adalah peratusan yang mengambil ujian profiling. Usaha bagi mengkaji mekanisme baru perlu dibuat untuk menggalakkan lebih ramai bakat yang berdaftar di Selangor Kerjaya mengambil ujian profiling. Ini dapat memastikan bekalan tenaga kerja mencukupi untuk menangani isu penawaran pekerjaan pasca wabak COVID-19 dalam usaha untuk mencapai sasaran penempatan pekerjaan kepada 10,000 orang dalam tempoh 3 tahun sehingga tahun 2024.