Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

24) SELANGOR INTERNATIONAL BUSINESS SUMMIT (SIBS)

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan Negeri merancang untuk merumuskan secara komprehensif Selangor International Business Summit (SIBS)?

    Kerajaan Negeri, melalui Jawatankuasa Tetap Pelaburan dan Perdagangan telah menganjurkan Sidang Kemuncak Selangor International Business Summit ini sejak tahun 2015. Program ini telah bermula dengan hanya satu pameran iaitu, Selangor International Expo di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIEC), di Seri Kembangan. Ianya telah dijenamakan semula sebagai Selangor International Business Summit pada tahun 2017 dan menggabungkan berberapa persidangan dan pameran dalam satu Sidang Kemuncak. Pada penganjuran tahun 2021 ini, SIBS2021 berjaya menghimpunkan sebanyak 9 program secara keseluruhannya menjadikan ia sebagai salah satu Sidang Kemuncak yang terbesar pernah dianjurkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia.

     

    Sepanjang 7 tahun penganjuran, SIBS telah berjaya menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada para usahawan PKS agar dapat bersaing dipasaran antarabangsa. Persidangan Selangor ASEAN Business Conference misalnya, telah menjadi satu persidangan di mana tokoh-tokoh ekonomi antarabangsa telah berkongsi pandangan dan idea. Antara topik yang telah dibincangkan di persidangan tersebut termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perkembangan Ekonomi pasca Pandemik, Innovasi Pemangkin Pembangunan Pasaran dan lain-lain

     

    Disamping itu, SIBS juga berjaya menjadi medan pertemuan diantara peserta PKS ini dengan rakan dan pembeli-pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara. Sepanjang 7 tahun penganjurannya, antara industri yang diketengahkan melalui Sidang Kemuncak ini adalah industri Makanan & Minuman, industri Farmaseutikal & Peralatan Perubatan, industri Halal dan lain-lain. SIBS juga menjadi medan bagi memperkenalkan Start Ups dan pemain industri Teknologi Bandar Pintar, Inovasi dan barangan ciptaan terkini.

     

    Secara keseluruhannya, sejak dari penganjuran pertamanya pada tahun 2015 sehingga 2021, Selangor International Business Summit telah berjaya menyediakan 2,951 tapak pameran bagi peserta PKS dan menerima sebanyak 95,451 orang pelawat dari dalam dan luar negara. Jumlah nilai transaksi yang dibincangkan (negotiated transaction value) yang telah direkodkan sepanjang 7 tahun pelaksanaan Sidang Kemuncak SIBS sehingga tahun 2021 ini telah mencecah RM1.13 billion.

     

    Pada tahun 2020 yang lepas, Sidang Kemuncak SIBS ini telah dianjurkan secara virtual oleh kerana penularan wabak Covid-19, namun, ianya telah berjaya menghimpunkan seramai 286 usahawan dan telah menerima pelawat digital seramai 175,000 orang. Program Virtual Selangor International Business Summit ini juga telah berjaya merekodkan sejumlah RM1.0 juta nilai transaksi yang dibincangkan melalui sesi pemadanan perniagaan atas talian yang dijalankan semasa Sidang Kemuncak tersebut.

     

    Sidang Kemuncak SIBS 2021 yang baru selesai dianjurkan secara fizikal pada 18-21 November 2021 di Kuala Lumpur Convention Centre, telah menyediakan 472 tapak pameran, dan menerima lebih dari 25,000 orang pengunjung. Sidang Kemuncak SIBS2021 ini juga akan diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor iaitu www.selangorbusinesshub.my selama setahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.