Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
88) SEKURITI BEKALAN MAKANAN DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Jawatankuasa Sekuriti Makanan Selangor telah ditubuhkan? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Kerajaan Negeri sedang diperingkat untuk menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Selangor di mana melalui perbincangan awal telah mencadangkan perkara-perkara seperti berikut :-
- Jawatankuasa akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian & Perladangan Dan Industri Asas Tani dengan keahliannya terdiri daripada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Dan Industri Halal, jabatan dan agensi serta anak-anak syarikat yang berkaitan dengan sektor pertanian makanan, pemain industri sektor makanan , IPTA dan IPTS serta golongan profesional yang boleh memberikan pandangan dan cadangan serta nasihat berkaitan pelaksanaan sekuriti makanan;
- Kepentingan pengwujudan data dan maklumat berkaitan sektor pertanian yang lebih tepat dan reliable; dan
- Memberikan tumpuan kepada aspek pengeluaran, logistik dan pemasaran yang merupakan elemen di dalam Dasar pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).
Keperluan kepada penwujudan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Selangor akan diperbincangan dengan lebih mendalam dalam masa terdekat bagi memastikan ianya boleh dilaksanakan dengan lebih holistik.
-
Nyatakan keluasan tanah untuk aktiviti pertanian mengikut daerah.
Keluasan keseluruhan tanah untuk pertanian di Negeri Selangor adalah 298,548 hektar (2012). Kawasan tanah untuk pertanian secara puratanya telah berkurangan sebanyak 5.3% untuk tempoh 10 tahun. Bagi jumlah keluasan untuk Kawasan tanaman padi sahaja iaitu di Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah berjumlah 18,610 hektar. Selain dari itu, terdapat 13 kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan jumlah keluasan 1,086 hektar, TKPM Ternakan 622 hektar dan TKPM Akuakultur 5,171 hektar (keluasan termasuk kebun kerang) menjadikan keluasan keseluruhan untuk semua bidang pertanian di bawah Program TKPM adalah 6,879 hektar. Sejumlah 79,574 hektar (10% dari keluasan Negeri Selangor) telah dicadangkan agar dikekalkan sebagai kawasan pertanian makanan. (Sumber : Rancangan Struktur Negeri Selangor 2025)
-
Adakah Selangor mempunyai Taman Kekal Pengeluaran Makanan TKPM) atau sebahagiannya yang terbengkalai atau belum dimajukan? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebanyak 12 kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di bawah Jabatan Pertanian yang sedang beroperasi mengeluarkan hasil-hasil sayuran, buah-buahan, tanaman industry dan tanaman kontan. Pada masa ini terdapat seramai 363 orang peserta yang menyertai projek seluas 1,351.45 hektar dan telah berjaya mengeluarkan hasil pertanian sebanyak 29,276 metrik tan/tahun dengan nilai RM43.3 juta. Dari segi status kemajuan projek, sehingga kini semua Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Negeri Selanbgor masih aktif dan tiada yang terbengkalai kecuali 1 kawasan iaitu di TKPM Bestari Jaya, Kuala Selangor yang berkeluasan 57 hektar telah dihentikan pelaksanaan program disebabkan oleh kawasan tersebut terlibat di dalam Projek HORAS 3000.