Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
49) SEKTOR PERTANIAN
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila perjelaskan dengan detail mengenai apakah perbezaan dan kelebihan serta kelemahan Benih padi MR 219,MR 220 dan Mr220 CL 1 ?
Perbezaan, kelebihan dan kelemahan padi MR 219, MR 220 dan MR 220 CL 1 adalah:
PADI MR 219
Dihasilkan melalui projek Pembentukan Varieti Untuk Sistem Tanaman Tabur Terus yang dimulakan pada awal tahun 1988. Varieti ini dihasilkan melalui sistem tanaman tabur terus di semua peringkat pemilihan dan penilaian kecuali di peringkat pembiakan generasi F1 dan pembiakan biji benih. Oleh itu varieti ini memenuhi sebahagian besar ciri-ciri yang diperlukan untuk pengeluaran hasil yang tinggi di bawah sistem tanaman tabur terus.
Dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 137 dan baka MR 151 yang dilakukan pada musim luar 1991. Baka MR 137 mempunyai ciri-ciri bentuk pokok yang baik, umur matang yang singkat, saiz dan rupa bentuk biji serta cita rasa nasi yang sangat baik. Baka MR 151 pula mempunyai kebaikan pada ciriciri masa yang seragam pada tangkai dan ciri senesen daun.
Dari segi kerintangan terhadap musuh dan penyakit, MR 137 rintang terhadap benah perang, MR 151 rintang terhadap Penyakit Merah dan kedua-duanya adalah rintang terhadap Karah dan Hawar Daun Bakteria. Varieti MR 219 didapati mewarisi sebahagian besar ciri-ciri yang baik terdapat baka-baka induk ini.
Kandungan amilosa MR 219 adalah rendah sekitar 21.4%. Ini menyebabkan cita rasa nasinya lembut. Baka MR 219 adalah baka yang berdaun lebat.
PADI MR 220
Varieti padi MR 220 yang juga dikenali sebagai Padi Mas di kalangan petani, mempunyai keturunan yang sama dengan MR219. Setelah melalui proses pemilihan dan penilaian ciir-ciri dan prestasi hasil yang memakan masa sekitar 12 tahun, ia telah menunjukkan beberapa kelebihan yang mewajarkannya disyorkan kepada petani. Varieti ini mempunyai bebrapa ciri yang dapat menandingi MR 219.
Varieti MR 220 dihasilkan melalui kacukan antara baka MR 151 dan MR 137. Penanaman generasi kedua (F2) hingga generasi kelapan (F8) dilakukan secara tabur terus dan pemilihan dilakukan berasaskan ciri tangkai sahaja. Pemilihan untuk mendapatkan bentuk pokok yang baik dilakukan pada tiga generasi selanjutnya.
Ciri-Ciri Varieti MR 220 mempunyai umur matang yang sama dengan varieti MR 219 iaitu sekitar 105 hingga 113 hari bergantung pada musim dan sistem penanaman yang diamalkan.
Bentuk pokok MR 220 tidak banyak berbeza daripada varieti MR 219 dengan ketinggian batang antara 76 cm hingga 80 cm. Ia mempunyai daun yang lebat di bahagian pangkal pokok dan daunnya lebar sedikit dengan varieti MR 219. Daun pengasuhnya tegak tetapi boleh melentok sekiranya terlebih baja atau ditanam di kawasan yang terlalu subur.
Tangkai MR 220 adalah sama panjang (23 cm) dengan MR 219. Walau bagaimanapun bilangan biji setangkai bagi MR 220 adalah rendah sedikit daripada MR 219. Perbezaan yang ketara antara MR 220 dengan MR 219 dapat dilihat pada ciri-ciri bijinya. Biji MR 220 lebih besar, panjang, lebar dan berat daripada MR 219. Berbentuk panjang dan bujur, beras MR 220 dikategorikan dalam gred panjang.
Varieti MR 220 mempunyai tahap kerintangan yang sangat baik terhadap tiga perosak utama padi iaitu penyakit karah dan hawar daun bakteria dan sederhana rintang terhadap penyakit merah virus. Tahap kerintangan ini setanding dengan varieti MR 219. Walau bagaimanapun, ia hanya sederhana rentan terhadap hawar seludang seperti MR 219. Untuk hawar seludang, kawalan perlu dilakukan melalui kaedah kimia dan amalan agronomi yang baik.
Kelembutan nasi MR 220 adalah setaraf dengan MR 219 memandangkan kandungan amilosa yang hampir sama bagi kedua-dua varieti ini iaitu sekitar 20% hingga 22% (28% amilosa). Nilai kekonsistenan gel dan juga pepecahan alkali juga memastikan varieti MR 220 dan MR 219 mempunyai citarasa nasi yang lembut.
PADI MR 220 CL1
Varieti ini adalah kacukan dari jenis MR 220. Bertujuan untuk mengawal masalah padiangin dan rumput rumpai yang menjejaskan tanaman padi jika petani mengikut cara pengurusan yang disyorkan.
Walau bagaimanapun benih padi MR CL1 ini bukanlah jenis padi yang boleh ditanam setiap musim sebalik hanya boleh digunakan untuk dua musim sahaja dan selepas dua musim petani perlu menggunakan benih padi biasa. Jika petani masih terus menanam padi CL1 atau CL2 pada musim seterusnya berkemungkinan mutasi padi angin berlaku yang mana varieti ini tidak kebal terhadap serangan penyakit.
Tujuan asal benih CL1 dan CL2 bukanlah untuk menghasilkan padi yang banyak sebaliknya untuk mengurangkan padi angin seterusnya membolehkan peningkatan hasil padi berlaku.
Perbezaan Ciri-Ciri Varieti Padi MR 220 Berbanding MR 219
CIRI-CIRI MR 220 MR 219 Pokok Umur matang (hari) 105-113 105-111 Tinggi batang (cm) 76-78 76-78 Tangkai Panjang tangkai 23.3 23.2 (cm) 76 84 Bil. biji bernas setangkai 33.3 34.7 Biji hampa (%) Biji padi Panjang biji (mm) 10.39 + 0.19 10.36 + 0.32 Lebar biji (mm) 2.50 + 0.08 2.46 + 0.12 Berat 1000 biji (g) 29.15 27.1 Kerintangan Karah Rintang Rintang Hawar bakteria Rintang Sederhana Rintang Benah berang Sederhana Rentan Sederhana Rintang Penyakit merah Sederhana Rintang Sederhana Rintang Pengilangan Perolehan beras 76 72 (%) 83 81 Beras kepala (%) 6.95 + 0.29 6.91 + 0.23 Panjang beras (mm) 2.06 + 0.07 2.10 + 0.07 Lebar beras (mm) Mutu nasi Kandungan amilosa 22.1 20.1 (%) 50 46 Kekonsistenan gel 4.3 2.8 Pepecahan alkali lembut lembut Teksur nasi -
Sila nyatakan bilakah Benih Padi MR 219 mula diperkenalkan oleh pihak MARDI kepada petani untuk diusahakan secara meluas ?
Benih Padi MR 219 mula diperkenalkan oleh pihak MARDI kepada petani untuk diusahakan secara meluas pada 9 Januari 2001 yang diistiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Telok Malek, Jitra, kedah semasa perasmian dibuat. Varieti padi ini diperkenalkan oleh Datuk Dr. Effendi Norwaw, Dr. Saharan Haji Anang dan pegawai-pegawai penyelidik MARDI yang lain.
-
Sila nyatakan apakah jenis penyakit padi yang dikenal pasti menyerang tanaman petani Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada Musim pertama tahun 2012 yang menyebabkan hasil pengeluaran mereka terjejas ?
Terdapat pelbagai jenis penyakit padi menyerang pada suatu masa pada musim 1/2012 di kawasan tanaman padi di Kuala Selangor dan Sabak Bernam seperti Penyakit Hawar Daun Bakteria(BLB),Penyakit Reput Tangkai,Bintik Perang dan Hawar Seludang
Serangan ini disebabkan keadaan cuaca panas dan sekali sekala lembab yang sesuai perkembangan bakteria dan kulat di sawah. Serangan diperingkat akhir pengisian padi menyebabkan buah padi ringan dan penyusutan hasil sehingga 510%.
Petani dinasihatkan menjalankan amalan baik pertanian kebersihan sawah dan batas dari rumpai(perumah penyakit),kebersihan pakaian/apron semasa menyembur, (mengurangkan jangkitan),penyemburan melalui lorong kerja atau tepi batas dengan power sprayer,semburan foliar Silika, pembajaan tinggi K bagi menguatkan pokok dan pembakaran tunggul jerami padi selepas menuai .