Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

8) SEKTOR PERKHIDMATAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Menurut Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2013, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang ekonomi terbesar di Selangor iaitu meliputi 58.8%. Apakah rancangan kerajaan negeri dalam memberi fokus untuk menambahbaik sistem perkhidmatan di Selangor?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam merangka dan merencanakan pembangunan Negeri Selangor. Usaha yang kolektif akan sentiasa dirangka supaya ekonomi Selangor kekal kompetetif di pasaran global dan seterusnya mengekalkan dominasi Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi terutama dalam sektor perkhidmatan. Fokus utama Kerajaan adalah untuk terus memperkasa sektor ini berdasarkan strategi seperti berikut :

    • Memperkukuhkan infrastruktur asas Negeri Selangor iaitu bekalan air, bekalan elektrik, komunikasi ICT, jalinan perhubungan dan pengangkutan serta pembangunan sosial ke tahap antarabangsa bagi memastikan pelabur terus kekal dan menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Selangor. Agenda pembangunan Negeri Selangor akan terus memberi jaminan bekalan air bersih, tenaga elektrik yang mencukupi, infrastruktur ICT yang moden dan canggih serta keyakinan terhadap keselamatan dan keselesaan hidup. Selangor akan terus memastikan pembangunan sosio ekonomi yang dinamik disokong dengan kestabilan politik yang menjadi indikator penting tarikan pelabur asing.
    • Meneroka potensi-potensi baru yang memberi nilai tambah terhadap bidang perkhidmatan. Kerajaan telah mengenalpasti beberapa bidang yang dijangka akan memberi impak terhadap rantaian ekonomi seperti bidang pelancongan kesihatan (medical tourism), big data (shared data), advance robotic dan pembangunan institusi pendidikan;
    • Pembangunan dan penciptaan bakat dan kemahiran bagi mengisi keperluan bidang perkhidmatan. Negeri Selangor sedang menuju peralihan daripada aktiviti berasaskan pekerja berkemahiran rendah kepada aktiviti pekerja berkemahiran tinggi dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk Negeri Selangor. Sehubungan itu usaha-usaha dilaksanakan untuk mempersiapkan generasi muda untuk berhadapan dengan cabaran global dan melahirkan pemikir-pemikir melalui agenda membesarkan brain bank dalam bidang strategik dan teknikal sebagai kanvas strategi memacu bidang research & development (R & D). Dalam jangka masa panjang Negeri Selangor akan mempunyai golongan profesional yang akan terus memperkasa sektor perkhidmatan ke tahap yang lebuh tinggi.
  2. Apakah prestasi sektor perkhidmatan pada tahun 2014?

    Prestasi sektor perkhidmatan Negeri Selangor pada tahun 2014 diunjurkan menyumbang 58.6%.

  3. Apakah status dan pencapaian projek Halal Hub?

    Pembangunan Selangor Halal Hub, Pulau Indah berkeluasan kasar seluas 700 ekar termasuk infrastruktur telah siap dibangunkan dalam tahun 2012. Sehingga kini, status pelabur-pelabur di Selangor Halal Hub, Pulau Indah dan jenis industri adalah seperti berikut :

    Bil Nama Pelabur Jenis Industri
    1. Oleon Sdn Bhd Produk “Palm Oil Ester”
    2. F & N Dairies Sdn Bd Produk tenusu
    3. Longson Sdn Bhd Produk Sos Cili. Tomato & Mayonis
    4. Premium Agro Products Sdn Bhd Produk Herba
    5. Scientex Packaging Film Sdn Bhd Produk “Stretch Packaging Films”
    6. Mewah Dairies Sdn Bhd Produk tenusu
    7. Sydney Cake House Sdn Bhd Produk Makanan Sejuk Beku
    8. Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd Produk Makanan Sejuk Beku
    9. Ramly Food Industries Sdn Bhd Produk Makanan Sejuk Beku
    10. ICM Specialty Chemicals Sdn Bhd Produk “Oleochemicals”.
    11. Pok Brothers Sdn Bhd Produk Makanan Sejuk Beku

     

    Jumlah pelaburan halal hub di Pulau Indah dianggarkan bernilai RM1,700 juta dengan 2,500 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.