Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
10) SEKTOR PELANCONGAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan untuk merangsang sektor pelancongan Negeri Selangor pada tahun 2022?
Berikut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk merangsang sektor pelancongan Negeri Selangor pada Tahun 2022.
- Pemerkasaan Kempen Promosi Pelancongan
Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan merupakan hala tuju pengisian promosi pelancongan Negeri Selangor yang memfokuskan kepada beberapa pasaran pelancongan. Tourism Selangor mengambil langkah proaktif untuk meneruskan dan memperkasakan penganjuran 2 (dua) kempen pelancongan mengikut pasaran khusus seperti yang berikut:-
- Pasaran Domestik : Kempen “Pusing Selangor Dulu!”
- Pasaran Global/Antarabangsa : Kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”
Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri menambahbaik (enhance) dan terus mempergiatkan aktiviti promosi 2 (dua) kempen pelancongan ini yang mengutamakan penggunaan platform digital dan atas talian sebagai medium utama penyebaran maklumat serta publisiti kempen pelancongan ini.
- Penganjuran Acara Pelancongan
Demi memastikan industri pelancongan Negeri Selangor tidak terus tenggelam dibadai wabak pandemik Covid-19, pihak Tourism Selangor telah merancang untuk menganjurkan sebuah acara persidangan pelancongan iaitu “Tourism Selangor Global Convention 2022”. Untuk makluman, acara ini merupakan penganjuran kali ke dua di Negeri Selangor dan dianjurkan oleh Tourism Selangor.
Tourism Selangor Global Convention 2022 mempunyai beberapa komponen iaitu Persidangan, Dialog, Mesyuarat CEO Level, Live Speed Grant Pitching, Twin City Business Matching ( B2B ), Promosi Kebudayaan & Kesenian, FAM Trip, Pameran & Jualan Produk Pelancongan dan Majlis Apresiasi Pelancongan.
Program ini mensasarkan jemputan delegasi pelancongan domestik dan antarabangsa terdiri daripada Persatuan Pelancongan dalam dan luar negara, Badan Pelancongan Negeri, Kementerian Pelancongan Seni & Budaya, Kedutaan, Pemain Pemasaran Antarabangsa, Ahli Akademik, Personaliti Pelancongan, Penganjur Program Pelancongan, Pihak Korporat dan Kerajaan.
Program dan acara pelancongan mega yang dirangka ini mampu meningkatkan profil pelancongan Negeri Selangor ke peringkat yang lebih ditinggi lagi khususnya ke pentas global.
-
Apakah bantuan-bantuan yang tersedia untuk pengusaha industri berkaitan pelancongan?
Berikut merupakan antara cadangan bantuan-bantuan yang tersedia untuk pengusaha industri berkaitan pelancongan untuk tahun 2022.
- Penganjuran Pertandingan Pitching Pelan Pemulihan bagi Semarakkan Semula Sektor Pelancongan Domestik Selangor
Melalui pertandingan pitching Pelan Pemulihan Bagi Semarakkan Semula Sektor Pelancongan Domestik Selangor, masyarakat dan orang awam dapat bersama-sama kerajaan Negeri Selangor dalam merencanakan idea untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik di Negeri Selangor yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19.
- Adaptasi Digitalisasi : Pemberian Baucar Pelancongan Melalui Platform Digital dan Online
Mekanisme pelaksanaan pengagihan baucar melalui kaedah penebusan melalui penggunaan mata (point) melalui e-wallet dan e-baucar bertujuan memastikan peluang subsidi geran bantuan pemulihan dapat dinikmati oleh kesemua khalayak pengguna awam. Penggunaan baucar bertujuan bagi meggalakkan rakyat Malaysia berbelanja untuk tujuan penggalakkan pelancongan domestik di samping menggalakkan individu yang bermastautin di Negeri Selangor untuk mengenali lebih banyak lagi tempat-tempat pelancongan di sembilan (9) Daerah dalam Negeri Selangor.
-
Adakah Kerajaan ada menyediakan peruntukan untuk menaik taraf lokasi tarikan pelancongan?
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1,150,000.00 (RM1.15 juta) untuk menampung kos bagi beberapa projek menaiktaraf infrastruktur di kawasan pelancongan yang sedia ada dan kawasan pelancongan yang baru dan berpotensi di Negeri Selangor yang lebih berkonsepkan ‘Safe Tourism’ serta ‘Sustainable’.