Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
287) SEKTOR PELANCONGAN DI KUALA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membuka tanah-tanah milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk dijadikan sebagai pajakan kepada operator sektor perhotelan bagi tujuan membina hotel-hotel baharu di Daerah Kuala Selangor bagi menampung keperluan pelancongan di daerah itu?
MBI telah mengenalpasti tanah berpotensi untuk pembangunan sektor pelancongan di kawasan Kuala Selangor yang terletak di Pulau Angsa. Namun, terdapat beberapa kekangan teknikal yang perlu diselesaikan sebelum rancangan pembangunan dimuktamadkan untuk menjadikan Pulau Angsa sebagai tempat pelancongan. Pihak MBI sedang mengadakan libat urus dengan jabatan dan agensi yang berkenaan untuk memastikan kebolehlaksanaan pembangunan ini, terutamanya apabila terdapat rumah api yang masih berfungsi dan rumah kuarters yang masih didiami oleh kakitangan Jabatan Laut Malaysia di atas Pulau Angsa ini.
-
Adakah kerajaan mempunyai inisiatif tambahan untuk menaiktaraf "hotspot" pelancongan di DUN Bukit Melawati seperti pemasangan lampu tambahan dan lain-lain infra di Dataran Ixora, Kuala Selangor?
Industri Pelancongan merupakan ketiga utama ekonomi Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri mempunyai perancangan jangka panjang bagi menaiktaraf kawasan “hotspot” bukan sahaja di Kuala Selangor, malahan di seluruh Negeri Selangor. Di Kuala Selangor hanya terdapat 3 dataran sahaja iaitu Dataran Malawati di Pekan, Dataran Astaka di Tanjung Karang dan Dataran Keris di Pekan Kuala. Pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor telah memasang lampu yang mencukupi bagi menerangi kawasan ddataran tersebut.