Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
145) SEKTOR PELANCONGAN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha atau langkah-langkah daripada Kerajaan Negeri bagi mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan yang banyak terdapat di DUN Taman Templer?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, UPEN telah merancang dan menjalankan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Negeri Selangor serta menaikkan imej Negeri Selangor dalam bidang pelancongan. Pelaksanaan merancakkan ekonomi dan mempromosikan produk pelancongan tidak tertakluk kepada sesuatu kawasan DUN dan ianya dijalankan secara keseluruhan mengikut pecahan Daerah dan PBT. Beberapa kawasan pelancongan yang sedang dipromosikan adalah seperti, Taman Eko Rimba Kanching, Taman Eko Rimba Komenwel, Taman Eko Rimba Templer, Templer Park Country Club dan Bukit Anak Takun.
Antara perancangan dan usaha yang telah dirangka yang telah dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:-
- Penganjuran Program Promosi Pelancongan Domestik
Bagi meningkatkan kedatangan pelawat dan pelancong ke negeri Selangor program promosi domestik ditekan kepada masyarakat dan penduduk di Malaysia dalam kepelbagaian program promosi seperti MATTA Fair, MITA Fair, dan Promosi Jelajah Negeri
- Penganjuran Program FAM Trip (Familiarization Trip)
Tourism Selangor bekerjasama dengan pihak Berkuasa Tempatan (PBT), penggiat industri pelancongan serta produk-produk pelancongan di Negeri Selangor untuk menganjurkan sesi lawatan tapak atau FAM Trip bersama dengan agensi pelancongan untuk meningkatkan penjualan pakej pelancongan untuk para pelancong dan agensi media tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan publisiti ke peringkat global mengikut jadual.
- Penganjuran Acara Pelancongan di Negeri Selangor
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menyusun kalendar penganjuran acara pelancongan sepanjang Tahun. Dengan penganjuran acara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung ke Negeri Selangor bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk menginap, membeli-belah, melawat tempat-tempat menarik yang ada ni sekitar kawasan penganjuran acara tersebut seterusnya meningkatkan ekonomi setempat.
- Penganjuran Kempen Promosi Pelancongan dan Pengiklanan Pelancongan Negeri.
Bagi memastikan impak dan tumpuan industri pelancongan negeri terus dipacu, Kerajaan Negeri komited melancarkan beberapa kempen promosi seperti “Pusing Selangor Dulu” dan “Splendid Selangor”. Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan kempen pengiklanan di media cetak dan elektronik di peringkat domestik dan antarabangsa bagi memastikan kempen promosi pelancongan mempunyai nilai pulangai ROI (Return of Investment) yang tinggi dan berkesan.