Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

20) SEKTOR PELANCONGAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa peratuskah pendapatan dari sumber sektor ini kepada kerajaan negeri?

    Bagi sektor pelancongan, nilai kadar pertumbuhan KDNK Negeri Selangor dapat dilihat melalui sektor Perkhidmatan di mana dibawah sektor perkhimatan ianya dapat dinilai melalui ‘Perkhidmatan Utiliti, Pengangkutan, Penyimpanan & Komunikasi’ dan ‘Perkhidmatan Perdagangan Borong, & Runcit, Penginapan & Restoran’. Jenis aktiviti-aktiviti ini lebih menunjukkan perkhidmatan di dalam ekonomi industri pelancongan yang saling berkait rapat dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pendapatan Negeri Selangor.

    Merujuk kepada Laporan Ekonomi Negeri Selangor 2014/2015 oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Peratusan bagi perbandingan antara sektor pada tahun 2015, menunjukkan sektor perkhidmatan menyumbangkan, 59.4% daripada nilai dan kadar pertumbuhan KDNK Negeri Selangor mengikut sektor, pada Harga Malar 2010. Hal ini juga menunjukkan sumbangan besar sektor perkhidmatan termasuk industri pelancongan kepada Negeri Selangor bagi tahun 2015.

    Berikut merupakan Jadual penuh bagi Nilai dan Kadar Pertumbuhan KDNK Negeri Selangor mengikut Sektor, untuk tahun 2013  sehingga tahun 2015.

  2. Nyatakan pertambahan semasa pentadbiran kini dan BN dahulu

    Perbandingan sektor perkhidmatan dalam pendapatan ekonomi Negeri Selangor dapat dilihat dari peratusan peningkatan seperti yang berikut:

    SUMBANGAN SEKTOR PERKHIDMATAN KEPADA EKONOMI NEGERI SELANGOR 2009 & 2015

    Bil. Tahun Nilai ditambah (RM juta) Peratus Peningkatan
    01. 2009 67.8 juta  

    111.5%

    02. 2015 143.4 juta

     

    Sumber: Laporan Ekonomi Negeri Selangor 2011/2012, 2014/2015 

    oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor

  3. Bagaimanakah pelancongan di Selangor dapat meningkatkan sumber pendapatan negeri?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor giat mempromosikan produk-produk pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor di dalam dan luar negara untuk menggalakkan kemasukan pelancong ke Selangor.

    Kempen-kempen pelancongan yang dijalankan secara berterusan seperti “Discover Selangor” membantu meningkatkan sumber pendapatan sektor pelancongan. Kempen-kempen ini dijalankan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor agar menjadi destinasi pilihan para  pelancong domestik dan antarabangsa.

    Terdapat banyak lokasi pelancongan yang terkenal dan menjadi tarikan pelancong-pelancong dalam dan luar negara seperti Kelip-kelip Kampung Kuantan, Sunway Lagoon, Batu Caves, Zoo Negara, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, FRIM dan sebagainya.

     

    Selain daripada produk pelancongan sedia ada, produk pelancongan yang terbaharu juga membantu merancakkan industri pelancongan dan seterusnya meningkatkan kedatangan pelancong dan pendapatan dalam sektor pelancongan di Negeri Selangor. Antara produk-produk pelancongan baharu tersebut adalah seperti Nickelodean Lost Lagoon, Jump Street, District 21, One City Mall dan banyak lagi.

     

    Pada masa yang sama juga acara-acara yang dijalankan di Negeri Selangor seperti Formula One, Kejohanan Golf, Malaysia Women Marathon, Bon Odori Festival, Moto GP, Raja Muda Selangor International Regatta juga menjadi penyumbang pendapatan hasil pelancongan.

     

    Kepelbagaian segmen-segmen pelancongan seperti pelancongan eko, pelancongan kesihatan, warisan dan kebudayaan, pendidikan, pelancongan sukan dan MICE dapat memenuhi keperluan dan kehendak pelancong daripada seluruh negara untuk datang ke Negeri Selangor.

    Di Negeri Selangor juga terdapat banyak pusat membeli-belah yang dapat menarik kunjungan pelancong untuk membeli belah di Selangor. Pusat membelibelah yang popular antaranya ialah Sunway Pyramid, One Utama, Ikea Damansara, Empire Gallery Subang, GM  Klang, SACC Mall, The Curve,  dan Mitsui Outlet.

    Dengan kepelbagaian  daya tarikan dan produk-produk pelancongan ini, ianya  sangat membantu di dalam meningkatkan hasil pendapatan sektor pelancongan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.