Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

117) SEKOLAH TAMIL DESA COALFIELD

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah sekolah ini akan memulakan kerja2 pembinaan dan bila dijangka siap?

    Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Desa  Coalfield  Daerah  Kuala  Selangor merupakan projek pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri untuk menjaga dan memberi peluang kepada anak pekerja ladang dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dan serba lengkap demi menjamin masa depan mereka. Dengan wujudkan SKJT Desa Coalfield ini, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf pendidikan dan sosioekonomi mereka untuk terus bergerak maju dan berdaya saing di arus pemodenan yang semakin pesat kini yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.

     

    Perancangan dan pembangunan SJKT Desa Coalfield masih belum dimulakan secara fizikal di tapak kerana melibatkan isu tanah yang masih belum dapat diselesaikan kerana melibatkan beberapa langkah – langkah yang perlu dilalui untuk tujuan pewartaan tanah.

     

    Terkini, dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) dan bantuan daripada Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Selangor, isu pengukuran tanah bagi pembinaan SJKT Desa Coalfield telah diselesaikan di mana Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) telah meluluskan Pelan Akui (P.A) dengan rujukan PA227576 pada 7 Mac 2016. Sehubungan dengan itu, Pejabat Daerah Kuala Selangor akan mengemukakan fail berkenaan kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) untuk tindakan pewartaan selanjutnya. Pelan Akui (P.A) tersebut juga telah dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk tindakan selanjutnya. Pembinaan SJKT Desa Coalfield ini dijangka dapat disiapkan di dalam tempoh 2 tahun selepas dokumentasi berkaitan diselesaikan.

     

    Walaupun projek ini mengambil satu tempoh yang agak lama untuk diselesaikan, tetapi dengan kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh jabatan dan agensi kerajaan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS), Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Selangor (PTDKS), Majlis Daerah Kuala Selangor

     

    (MDKS), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) serta Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dapat memastikan permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan segera berdasarkan bidang kuasa masing – masing bagi memastikan projek pembangunan Sekolah Tamil Desa Coalfield dapat disiapkan mengikut prosedur dan spesifikasi dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang berbangkit di kemudian hari.

Lampiran

Tiada Lampiran.