Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
173) SEKOLAH SATU ALIRAN
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan negeri melakukan kajian berkenaan pelaksanaan sekolah satu aliran di Selangor?
Seperti yang sedia maklum, perihal pendidikan termasuklah dasar berkenaan aliran sekolah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74 Jadual 9. Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kekangan yang nyata untuk memperhalusi sebarang dasar yang akan memberi kesan kepada sistem persekolahan. Walau bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa Perkara 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak untuk pendidikan vernakular.
-
Sejauh manakah keseriusan kerajaan negeri terhadap idea tersebut?
Hakikatnya muafakat Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk pendidikan vernakular dan ini tidak boleh diubah tanpa persetujuan semua kumpulan etnik yang terlibat dan pindaan Perlembagaan mengikut prosedur yang telah ditetapkan di peringkat Parlimen. Kami menyokong idea sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan ibu bapa, tetapi perkataan yang perlu ditekankan adalah ‘pilihan’. Kami berpendapat bahawa pendidikan merupakan prerogatif ibu bapa. Ibu bapa akan memilih aliran yang akan memberi pendidikan terbaik dan suasana pembelajaran yang menyeluruh untuk anak- anak mengikut kesesuaian. Idea pendidikan sepatutnya “satu sistem yang sesuai untuk semua” sudah lapuk dan akan merosakkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa yang lama apabila pelabur akan menuju ke arah negara- negara yang mempunyai sistem pendidikan yang fleksibel dan menghasilkan modal insan yang lebih baik dan produktif.