Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

225) SEKOLAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peruntukan baik pulih infrastruktur yang telah disalurkan ke sekolah-sekolah di DUN Hulu Bernam pada tahun 2024.

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil maklum akan keprihatinan Yang Berhormat berkaitan tindakan dan usaha yang dilaksanakan untuk membaik pulih infrastruktur di sekolah-sekolah di kawasan DUN Hulu Bernam.

    JPN Selangor sentiasa komited dalam memastikan semua aset dan infrastruktur di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Selangor sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan terurus untuk keselesaan warganya. Dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), KPM bertanggungjawab dalam menguruskan peruntukan Projek Operasi, Senggara, Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (OSPPUN) institusi pendidikan di bawah KPM agar keadaan infrastruktur sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk digunakan.

    Berdasarkan peruntukan yang tersedia di peringkat KPM tersebut, sebarang permohonan ke atas keperluan penyelenggaraan boleh dikemukakan oleh pihak sekolah kepada JPN Selangor melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing bagi tujuan penyediaan laporan pemeriksaan, seterusnya untuk diangkat kepada BPA, KPM. Berdasarkan skop Projek OSPPUN, peruntukan yang disediakan bagi tujuan program penyelenggaraan di sekolah-sekolah di Negeri Selangor adalah berdasarkan kategori seperti berikut:

    (i)         Program penyelenggaraan institusi pendidikan (PIP);

    (ii)        Program baik pulih kerosakan akibat bencana (Bencana);

    (iii)       Program penyelenggaraan akibat kecemasan (Kecemasan);

    (iv)       Program Lawatan Turun Padang (LTP); dan

    (v)       Program bantuan sumbangan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dan Projek Khas Fasiliti Tandas SBK.

    Berdasarkan semakan dan penelitian oleh JPN Selangor ke atas Projek OSPPUN yang dilaksanakan di kawasan DUN Hulu Bernam pada tahun 2024, butirannya adalah seperti berikut:

     

    Bil. Nama Institusi Kod Sekolah Butiran Projek OSPPUN Jumlah Peruntukan
    PIP Kecemasan Bencana LTP
    1. SK Sg. Selisik BBA5005 / RM20,000.00
    2. SK Hulu Bernam BBA5008 / RM20,000.00
    3. SK Kalumpang BBA5011 / / RM40,000.00
    4. SK Gedangsa BBA5013 / RM40,000.00
    5. SK Kampung Soeharto BBA5015 / RM20,000.00
    6. SK Gesir Tengah BBA5018 / RM20,000.00
    7. SK Sg. Tengi BBA5020 / / RM50,000.00
    8. SK Sri Keledang BBA5021 / RM40,000.00
    9. SK Seri Fajar BBA5027 / RM20,000.00
    10. SJK(C) Kalumpang BBC5029 / RM40,000.00
    11. SMK Kampung Soeharto BEA5062 / RM20,000.00
    12. SMK Kalumpang BEA5064 / RM20,000.00
    13. SMK Gedangsa BEA5065 / RM20,000.00
    Jumlah Keseluruhan RM370,000.00

     

    Seterusnya, penyaluran sumbangan bantuan kepada SBK bagi tujuan penyelenggaraan yang dilaksanakan di kawasan DUN Hulu Bernam pada tahun 2024 pula adalah seperti butiran berikut:

     

    Bil. Nama Institusi Kod Sekolah Jumlah Peruntukan
    1. SJK(T) Ldg Changkat Asa BBD5043 RM120,000.00
    2. SJK(T) Ldg Escot BBD5044 RM120,000.00
    3. SJK(T) Ladang Kalumpang BBD5048 RM120,000.00
    4. SJK(T) Ldg Lima Belas BBD5051 RM111,136.00
    5. SAM Sungai Selisik BST5001 RM94,000.00
    Jumlah Keseluruhan RM565,136.00

     

    Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan di atas, secara keseluruhannya kesemua sekolah di kawasan DUN Hulu Bernam telah pun menerima kemudahan di bawah Projek OSPPUN pada tahun 2024.

  2. Nyatakan jumlah pertambahan murid Pelajar Pendidikan Khas Istimewa (PPKI) di sekolah di DUN Hulu Bernam sejak 5 tahun terkini.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat 7 buah sekolah dalam DUN Hulu Bernam yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan pertambahan murid seramai 51 orang dalam tempoh 5 tahun (2021 hingga 31 Januari 2025).

    Bil. Kod Sekolah Nama Sekolah Bilangan Murid PPKI
    2021 2022 2023 2024 2025 (Sehingga 31 Januari 2025)
    1. BBA5005 SEKOLAH KEBANGSAAN SG SELISEK 0 0 0 5 5
    2. BBA5008 SEKOLAH KEBANGSAAN HULU BERNAM 30 35 35 41 42
    3. BBA5011 SEKOLAH KEBANGSAAN KALUMPANG 7 7 7 8 8
    4. BBA5015 SEKOLAH KEBANGSAAN KAMPUNG SOEHARTO 10 10 13 15 15
    5. BBA5020 SEKOLAH KEBANGSAAN SG TENGI 10 10 15 17 18
    6. BEA5062 SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMPONG SOEHARTO 23 25 27 29 29
    7. BEA5064 SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KALUMPANG 8 8 15 22 22
      JUMLAH 88 95 112 137 139

     

    Berdasarkan maklumat yang telah dinyatakan, kadar peningkatan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam DUN Hulu Bernam meningkat saban tahun. Hal ini disebabkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan waris berkenaan kepentingan pendidikan kepada anak-anak kurang upaya mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.