Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

56) SEKOLAH

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri merancang untuk menambah sekolah atau memperbaiki infrastruktur sekolah sedia ada di Lembah Jaya bagi menampung pertumbuhan populasi?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Selangor sentiasa komited dalam usaha meningkatkan akses pendidikan melalui penyediaan kemudahan pendidikan dan infrastruktur pendidikan yang sempurna kepada semua murid di seluruh negeri Selangor.

     

    Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat berkaitan perancangan pihak negeri untuk menambah atau memperbaiki infrastruktur sedia ada di Lembah Jaya, buat masa kini pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor tiada sebarang perancangan bagi pembinaan sekolah baharu di sini. Semakan pihak JPN Selangor mendapati bahawa tiada tanah rizab pendidikan baharu diwartakan di kawasan DUN Lembah Jaya.

    Pihak JPN Selangor mengambil maklum berkaitan sekolah sedia ada di kawasan tersebut iaitu SK Lembah Jaya yang kini beroperasi secara dua sesi dengan bilangan enrolmen sebanyak 1347 orang bagi kapasiti 18 bilik darjah (Data seperti pada 31 Disember 2024).  Justeru, sebagai langkah mengatasi kepadatan murid di SK Lembah Jaya, pembinaan bangunan tambahan atau  pembinaan kabin/IBS modular boleh dipertimbangkan pada masa hadapan memandangkan terdapat kawasan lapang yang tersedia di sekolah tersebut. Pertimbangan selanjutnya akan dibincangkan pada peringkat Jabatan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat bagi meneliti kesesuaian skop projek bagi SK Lembah Jaya.

    JPN Selangor sentiasa komited dalam memastikan semua aset dan infrastruktur di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Selangor sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan terurus untuk keselesaan warganya. Dalam hal ini, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), KPM bertanggungjawab dalam menguruskan peruntukan Projek Operasi, Senggara, Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (OSPPUN) institusi pendidikan di bawah KPM agar keadaan infrastruktur sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk digunakan.

     

    Berdasarkan peruntukan yang tersedia di peringkat KPM tersebut, sebarang permohonan ke atas keperluan penyelenggaraan boleh dikemukakan oleh pihak sekolah kepada JPN Selangor melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing bagi tujuan penyediaan laporan pemeriksaan, seterusnya untuk diangkat kepada BPA, KPM. Berdasarkan skop Projek OSPPUN, peruntukan yang disediakan bagi tujuan program penyelenggaraan di sekolah-sekolah di Negeri Selangor adalah berdasarkan kategori seperti berikut:

    (i)         Program penyelenggaraan institusi pendidikan (PIP);

    (ii)        Program baik pulih kerosakan akibat bencana (Bencana);

    (iii)       Program penyelenggaraan akibat kecemasan (Kecemasan);

    (iv)       Program Lawatan Turun Padang (LTP); dan

    (v)       Program bantuan sumbangan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).

     

    Justeru, sekiranya terdapat keperluan bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih kerosakan, pihak sekolah bolehlah mengemukakan permohonan kepada pihak PPD yang berkenaan dari semasa ke semasa.

     

     

    INPUT TAMBAHAN:

     

    SEKOLAH RENDAH DALAM RADIUS 3KM DARI SK LEMBAH JAYA

     

     

    NAMA SEKOLAH BIL. BD ENROLMEN BIL. SESI JARAK DARI SK LEMBAH JAYA (k.m)
    1.  SK Tasek Permai 22 285 1 1.62
    2.  SK Taman Kosas 33 1281 2 1.72
    3.  SK Taman Tasik 29 1339 2 1.83
    4.  SK Ampang Campuran 19 992 2 2.03
    5.  SJKC Kg. Baru Ampang 39 914 2 2.43
    6.  SJKT Ampang 19 279 1 2.71

     

    * SK Tasek Permai yang merupakan sekolah paling hampir dengan SK Lembah Jaya masih beroperasi secara satu sesi, di bawah kapasiti optimum. Sekolah ini juga masih mempunyai tanah lapang sekiranya memerlukan bangunan tambahan atau kabin kelak, justeru keperluan bagi pembinaan sekolah baharu di kawasan ini belum lagi mendesak.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.