Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

83) SEHAT SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi Sehat Selangor setakat ini.

    Penjagaan kesihatan mental yang berkesan adalah sangat penting dalam memastikan individu dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik dan efektif. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) pada tahun 2021.

    Melalui Program SEHAT, rakyat dapat menjalani saringan kesihatan mental secara percuma serta dapat mendapatkan sokongan melalui Talian SEHAT di mana kedua-dua bantuan tersebut terdapat pada aplikasi SELANGKAH. Selain itu, terdapat juga video psikopendidikan yang dimuatnaik pada aplikasi tersebut. Bermula pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menambaik bantuan dengan memperkenalkan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi kepada individu yang memerlukan.

    Bagi tahun 2023, Program SEHAT yang diterajui oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menjalankan program kesedaran dan saringan kesihatan mental melalui reruai yang dibuka semasa Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dan program-program anjuran Kerajaan Negeri yang lain di mana lebih 1,601 orang pengunjung telah disaring. Manakala program saringan melalui aplikasi Selangkah telah mencatatkan lebih 97,223 pengguna dan sejumlah 64,226 jumlah tontonan video-video psikopendidikan.

    Pada tahun 2023 juga diadakan sesi program outreach bersama pemimpin mahasiswa di 6 buah universiti di negeri Selangor iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi MARA (UITM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan pemerkasaan modul kesihatan mental bersama lebih 300 pemimpin mahasiswa.

    Untuk Talian SEHAT, sehingga 30 September 2023, sejumlah 442 panggilan telah diterima. Bagi inisiatif subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal, sehingga 29 Oktober 2023, subsidi berjumlah RM209,400.00 telah diperuntukkan melibatkan 950 slot rawatan. Program ini yang melibatkan kerjasama bersama klinik Selcare dan Persatuan Psikiatri Malaysia telah memberi bantuan kepada 68 orang pesakit bagi mendapatkan subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal.

  2. Sila nyatakan inisiatif Kerajaan Negeri berkenaan kesihatan mental pada Bulan Kesihatan Mental yang lepas.

    Inisiatif Kerajaan Negeri bagi bulan kesihatan mental adalah menawarkan inisatif subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal yang dibuka pada 10 Oktober 2023 yang lalu bersempena sambutan hari kesihatan mental sedunia. Program subsidi ini adalah yang pertama di Malaysia dan dilancarkan pada 2022 dimana pada tahun 2022, sebanyak RM222,600 telah diperuntukkan melibatkan 157 orang pesakit. Pada tahun 2023, sebanyak RM209,400 diperuntukkan melibatkan 950 slot rawatan dengan anggaran 190 orang pesakit dapat memanfaatkan slot tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.