Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

6) SEHAT SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan bilangan pengguna Selangor Mental SEHAT setakat Februari 2023 dan komposisi umur, jantina dan kaum. Apakah trend yang dilihat?

    Tuan Speaker,

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan daripada N31 Subang Jaya No.256 (a) yang juga bertanyakan tentang bilangan pengguna Selangor Mental SEHAT.

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Kesihatan Mental pada tahun 2019 bertujuan untuk membantu golongan yang menghadapi masalah tersebut melalui program-program advokasi kesedaran dan juga latihan kepada kaunselor dan barisan hadapan (frontliners) di bawah Kerajaan Negeri. Program ini kemudiannya ditambahbaik kepada Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bermula pada tahun 2021 melalui fungsi khusus Mental SEHAT dalam aplikasi SELangkah yang merangkumi ujian saringan awal kesihatan mental, intervensi awal melalui video pendidikan kesihatan mental dan talian psikososial bagi individu berhubung dengan kaunselor yang bertauliah. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah menambahbaik program ini dengan turut menyediakan insentif subsidi rawatan psikiatri dan klinikal psikologi kepada yang memerlukan.

    Berdasarkan data daripada pihak SELANGKAH, jumlah pengguna SEHAT sejak dilancarkan pada 30 Ogos 2021 sehingga 28 Februari 2023 adalah seramai 87,877 orang dan pecahan mengikut bulan dan tahun adalah seperti berikut :

    Berdasarkan pecahan dan tren yang direkodkan, majoriti pengguna adalah di kalangan belia dan dewasa manakala dari  segi jantina pula, majoriti pengguna Mental SEHAT adalah dikalangan wanita. Taburan berdasarkan kaum pula merekodkan jumlah yang mencerminkan demografi semasa penduduk di Selangor.

  2. Nyatakan pecahan pengguna yang disaring sebagai "berisiko tinggi" dari Risk Screening dan Mental Health Screening Test.

    Melalui fungsi khusus Mental SEHAT dalam aplikasi SELANGKAH, terdapat dua jenis ujian saringan yang disediakan iaitu Ujian Saringan Risiko dan Ujian Saringan Kesihatan Mental.

    Ujian saringan risiko digunakan untuk menyaring pengguna yang berisiko untuk mencederakan diri sendiri dan juga membunuh diri. Hasil dapatan daripada Ujian Saringan Risiko yang telah dilakukan oleh pengguna menunjukkan bahawa terdapat 42% pengguna tidak mempunyai risiko, manakala 58% mempunyai risiko. Mereka yang mempunyai risiko disalurkan kepada talian SEHAT dan juga program subsidi psikiatri SEHAT.

    Manakala, satu lagi jenis ujian ialah Ujian Saringan Kesihatan Mental yang digunakan mengukur tahap kesihatan mental seseorang. Antara ujian yang digunakan ialah Perceived Stress Scale (PSS-10) dan Depression Anxiety Stress Scale (DASS-21). PSS-10 digunakan untuk mengukur tahap jangkaan stress manakala DASS-21 digunakan untuk mengukur tahap kemurungan, kebimbangan dan stress.

    Data daripada SELANGKAH menunjukan bagi Ujian Saringan PSS-10, 22% pengguna mendapat skor yang berada di tahap normal, 65% berada ditahap sederhana dan 13% mempunyai kadar jangkaan stres yang tinggi.

    Manakala daripada saringan DASS-21 pula, data menunjukkan 51% pengguna mempunyai kadar stress yang tinggi, 35% mempunyai kemurungan yang teruk dan 57% mempunyai kadar keresahan yang teruk. Maklumat lanjut berkaitan adalah seperti yang ditunjukkan di dalam jadual di bawah :

    Kesemua pengguna SEHAT yang membuat ujian saringan akan disalurkan dan disarankan untuk menonton 60 video psikopendidikan yang telah disediakan merangkumi pelbagai topik berkaitan stres, kemurungan, keresahan, cara menanganinya dan isu-isu berkaitan. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan talian SEHAT dan berhubung dengan pihak kaunselor bertauliah yang disediakan dan bagi mereka yang layak boleh mendapatkan insentif subsidi rawatan psikiatri yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

  3. Berapakah jumlah tontonan video kesedaran?

    YB Kampung Tunku juga bertanyakan berkenaan jumlah tontonan video kesedaran dalam Mental SEHAT. Sehingga 28 Februari 2023, berdasarkan data daripada SELANGKAH dan Youtube, jumlah tontonan kesemua 60 video pendidikan adalah sebanyak 61468 tontonan atau views.

    Terdapat 60 video dengan 60 topik yang telah disediakan dan topik yang mendapat tontonan atau views yang tertinggi ialah topik berkaitan stress, panik dan anxiety.

    Data lanjut berkaitan jumlah tontonan berdasarkan topik dilampirkan untuk rujukan Yang Berhormat.

Lampiran

Tiada Lampiran.