Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

284) SASARAN KEMUDAHAN MENGECAS KENDERAAN ELEKTRIK (EV)

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kemudahan mengecas EV kini di Selangor dan apakah sasaran Kerajaan Negeri terhadap jumlah tersebut pada beberapa tahun akan datang?

    Kerajaan Negeri kini sedang mempergiatkan usaha bagi membangunkan rangkaian infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam menjadikan negeri Selangor sebagai negeri bebas karbon menjelang 2050. Memandangkan kadar penggunaan EV telah pun meningkat, rangkaian stesen pengecas perlu dibangunkan dengan segera. Sehubungan itu, negeri Selangor juga sedang mengorak langkah untuk melonjakkan penggunaan EV agar tidak ketinggalan dalam melaksanakan agenda EV bagi mengurangkan pelepasan GHG dalam negara.

     

    Berdasarkan data yang diperolehi dari Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), setakat ini, Negeri Selangor telah mempunyai sebanyak 147 stesen pengecas EV di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga agensi swasta.  Sebanyak 102 unit pengecas EV adalah di bawah seliaan PBT.

     

    Negeri Selangor dijangka akan mempunyai lebih banyak kemudahan rangkaian stesen pengecas EV berikutan sokongan dan ketersediaan PBT dalam membangunkan infrastruktur ini. Selain itu, kemampuan syarikat tempatan dalam menyediakan perkhidmatan bagi pembangunan kemudahan tersebut pada harga yang berpatutan turut menyumbang kepada perkembangan teknologi hijau ketika ini. Oleh itu, sasaran Kerajaan Negeri dalam mempergiatkan lagi pembangunan rangkaian pengecas EV adalah:

     

    • Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran permulaan sebanyak 1,000 unit pertama yang akan dilaksanakan pada tahun 2022 dan 2023;

     

    • Kesemua 12 PBT berkemampuan dalam menyediakan rangkaian infrastruktur pengecas EV di kawasan bandar dan perbandaran masing-masing dengan menyediakan insentif kadar letak kereta yang rendah dan keutamaan tempat letak kenderaan bagi EV dan hibrid;

     

    • Kerajaan Negeri mensasarkan untuk meningkatkan jumlah rangkaian infrastruktur pengecas EV, termasuk juga pembangunan ekosistem industri EV di negeri Selangor menjelang tahun 2023 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA);

     

    • Mewujudkan jalinan kerjasama melalui Private Partnership Program (PPP) di antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam menyediakan infrastruktur bagi tempoh jangka panjang; dan

     

    • Memperkenalkan dasar dan insentif sokongan bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) terutama motosikal yang lebih murah dan menjimatkan.
  2. Adakah Kerajaan Negeri telah mensyaratkan setiap pembangunan komersial untuk menyediakan kemudahan mengecas kenderaan elektrik? Sekiranya ya, apakah syarat tersebut?

    Pada masa sekarang, Kerajaan Negeri belum mensyaratkan setiap pembangunan komersial perlu menyediakan kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV). Walau bagaimanapun, PBT telah mengambil inisiatif ini dengan menjadikan pemasangan rangkaian infrastruktur pengecas EV sebagai salah satu elemen dalam pelan pembangunan bandar/perbandaran atau blueprint masing-masing seperti Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework (LCCF) dan Garis Panduan Pembangunan Mampan.

     

    Kerajaan Negeri melihat aspek ini mempunyai potensi untuk berkembang dan memperkasakan mobiliti rendah karbon di negeri Selangor. Oleh itu, dasar pada masa hadapan perlu mengambil kira keperluan untuk meningkatkan pelaksanaan inisiatif rendah karbon dan perancangan infrastruktur yang meminimumkan penggunaan sumber yang tidak mampan. Strategi ini dapat membantu mencapai objektif bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai mod pilihan dan menggalakkan pertumbuhan industri dan penggunaan EV di Malaysia. Ianya selari dengan pembangunan infrastruktur yang mampan dan berdaya maju dari segi ekonomi bagi EV.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri sedang dalam peringkat perancangan dan kajian mengenai garis panduan/polisi mobiliti hijau atau kenderaan EV di negeri Selangor dalam memastikan ekosistem pembangunan EV terancang dan menepati objektifnya. Senarai PBT yang telah menyediakan kemudahan pengecas EV adalah seperti berikut:

Lampiran

Tiada Lampiran.