Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
252) SARINGAN MASA BERSASAR SECARA PERCUMA
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri masih akan menjalankan saringan masa bersasar secara percuma di kawasan komuniti/perumahan?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk melaksanakan inisiatif bagi mengawal penularan pandemik Covid-19. Ini termasuk pelaksanaan ujian saringan bersasar secara percuma di kawasan komuniti dan perumahan. Langkah ini juga adalah selaras dengan saranan World Health Organization (WHO) melalui pengamalan langkah Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS) yang menekankan kepentingan menjalankan ujian saringan bagi mengenalpasti golongan yang berisiko tetapi tidak bergejala dan seterusnya dapat diasingkan daripada menjangkiti individu lain.
-
Sekiranya ya, senaraikan cara-cara mengenalpasti keutamaan kawasan saringan.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan ujian saringan komuniti sebanyak tiga (3) fasa termasuklah menjalankan saringan di kesemua 56 DUN pada 8 Mei sehingga 10 Jun 2021. Bagi saringan seterusnya, pemilihan lokaliti atau kawasan saringan adalah berdasarkan kadar jangkitan di suatu kawasan serta kawasan yang telah dikenalpasti melalui penilaian risiko oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
-
Sekiranya ya, senaraikan jumlah saringan yang telah dan mahu dicapai berdasarkan purata mingguan.
Kerajaan Negeri mengambil kira kejayaan saringan percuma ini yang mengesan ‘silent carriers’ dan penyertaan sangat menggalakkan daripada rakyat Selangor dengan lebih 50,000 individu telah menyertai saringan tersebut. Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 Fasa 3 secara percuma dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh Negeri Selangor. Fasa ketiga ini berasaskan dua strategi berdasarkan fasa pertama dan kedua iaitu menumpukan kawasan hotspot kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang di Selangor dengan sasaran melebihi 4,000 penyertaan seminggu. Jumlah saringan bagi 56 DUN yang telah dijalankan adalah sebanyak 96,542 individu dengan 3,333 individu (3.45%) didapati positif.