Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
307) SARINGAN KESIHATAN SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tujuan untuk melaksanakan program Saringan Kesihatan?
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan No.5 (a) Permatang (N09) Sabak dan No.42 (a) Bukit Lanjan (N37). Pemeriksaan kesihatan awal boleh membantu mengesan penyakit tertentu di peringkat awal. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa pengesanan awal boleh membantu menyediakan perancangan pengurusan dan rawatan yang lebih baik, yang kemudiannya akan meningkatkan kelangsungan hidup rakyat. Jika individu tersebut melakukan ujian saringan sekali sahaja, hanya maklumat berkaitan kesihatan semasa sahaja akan diketahui. Namun, jika ia dilaksanakan secara berkala dan kerap, maka ia akan membantu doktor mengesan sebarang keadaan abnormal yang mungkin semakin teruk berbanding pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum ini. Pengesanan awal akan memberikan individu dan doktor lebih banyak masa untuk merancang rawatan terbaik untuk penyakit tersebut. Justeru, pengenalan Program Selangor Saring bermula pada tahun ini merupakan langkah yang tepat dalam meningkatkan kesedaran orang awam akan kepentingan menjalani saringan kesihatan secara berkala. Program ini menawarkan saringan seperti berikut:
- Saringan bagi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.
- Saringan bagi 4 jenis kanser:-
- Kanser Payudara:
- Ujian mammogram/ultrasound/biopsi di hospital panel selepas mendapat tarikh temujanji melalui aplikasi Selangkah.
- Kanser Serviks:
- Pemberian dan cara penggunaan Human Papillomavirus (HPV) swab kepada pesakit untuk pengambilan sampel di tapak dan dihantar ke makmal untuk ujian.
- Kanser Kolorektal:
- Pengambilan sampel najis (IFOBT) oleh pesakit dan di hantar ke makmal.
- Kanser Prostat:
- Pengambilan sampel darah dan melakukan ujian Prostate Specific Antigen (PSA) di makmal
- Saringan pemeriksaan mata seperti rabun, glaukoma dan retina.
-
Bagaimana cara perlaksanaan program Saringan Kesihatan?
Bermula 21 Mei sehingga 17 Julai 2022, sebanyak 27 Dun telah terlibat bagi program ini dengan sejumlah 7,422 sampel (uijian darah dan ujian air kencing) telah dianalisis manakala sebanyak 1,528 sampel bagi saringan kanser. Daripada jumlah 1,528 sampel tersebut, sebanyak 25 sampel (1.6 peratus) telah didapati positif. Kanser kolorektal mencatatkan peratusan positif tertinggi iaitu sebanyak 5.19 peratus manakala kanser serviks adalah terendah iaitu 1.07 peratus. Perincian keseluruhan saringan adalah seperti di Lampiran.
Bagi soalan (b) yang mana telah dijawab bersekali dengan soalan No.5 (a) Permatang (N09), untuk makluman Yang Berhormat, program Saring Selangor dilaksanakan di kesemua 56 Dun bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat melalui program ini. Bagi menyertai program ini, orang awam digalakkan melakukan pra-pendaftaran di aplikasi Selangkah dan menjawab kesemua soalan yang diberikan. Langkah ini bertujuan mengetahui sejarah kesihatan individu dan jenis saringan yang sesuai dijalankan semasa hari saringan.
Selepas itu, baucar saringan akan diberikan berdasarkan jawapan yang telah lengkap dijawab dan baucar tersebut perlu dikemukakan kepada petugas saringan. Pemohon juga mempunyai pilihan bagi memilih tarikh dan tempat saringan pada aplikasi Selangkah. Bagi individu yang tidak mempunyai akses telefon bimbit atau mengalami masalah teknikal, mereka boleh mendaftar secara walk in dan melengkapkan pendaftaran secara manual di tapak saringan.
-
Apakah bantuan kerajaan diberi kepada pesakit kalau didapati jangkiti penyakit dalam laporan saringan?
Soalan ini telah dijawab bersekali dengan No.5 (b) Permatang (N09). Dalam memastikan kelancaran pesakit mendapatkan rawatan lanjut selepas menjalani program Selangor Saring, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan beberapa hospital panel di bawah program ini. Justeru, pesakit yang telah dikenal pasti positif akan dirujuk ke hospital panel untuk mendapatkan prosedur secara percuma, manakala bagi penyakit tidak berjangkit yang mendapat keputusan abnormal akan di rujuk ke klinik panel Selcare bagi sesi konsultasi yang akan diberikan secara percuma. Langkah susulan bagi setiap penyakit yang disaring akan dikemukakan secara bertulis.