Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
117) SARING SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dapatan program Saring Selangor 2022 semenjak dilaksanakan?
ANALISA PENYERTAAN PROGRAM
Sebanyak 49 sesi saringan telah diadakan sepanjang Mei hingga Disember 2022 di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor dengan kerjasama Selgate Healthcare Sdn Bhd selaku penyedia perkhidmatan kesihatan Negeri Selangor. Program Selangor Saring turut dilaksanakan di beberapa lokasi Program Jelajah Selangor Penyayang.
Seramai 22,513 individu telah mendaftar menerusi aplikasi Selangkah dengan kadar kehadiran sebanyak 68.27%, menjadikan Selangor Saring sebagai antara program Saringan Kesihatan Komuniti dengan kadar kehadiran yang tertinggi di Malaysia. Daripada keseluruhan peserta, sejumlah 79.67% terdiri daripada golongan dalam lingkungan umur 31 hingga 65 tahun selaras dengan sasaran program untuk menyaring golongan berisiko tinggi yang berkemungkinan menghidapi penyakit tidak berjangkit.
Sesuai dengan trend di peringkat kebangsaan, golongan wanita mewakili sejumlah 60.87% daripada keseluruhan kelompok yang disaring. Selain itu, data menunjukkan sejumlah 65.08% peserta terdiri daripada etnik Melayu, diikuti 23.59% Cina, 8.61% India dan selebihnya dari etnik lain-lain.
Kesemua peserta menjalani soal selidik penilaian risiko melalui aplikasi Selangkah dan baucar-baucar ujian diagihkan sesuai dengan kriteria risiko serta kelayakan yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Kesihatan Awam (SELPHAC) berpandukan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan badan-badan professional perubatan Malaysia.
ANALISA KEPUTUSAN SARINGAN
Saringan Anthropometri menunjukkan hampir 30.75% daripada peserta menghidapi penyakit darah tinggi dan obesiti yang belum didiagnosis. 67.57% peserta telah didiagnosis sebagai menghidapi penyakit kencing manis, kolesterol tinggi atau kedua-duanya sekali, dengan 2027 peserta telah membuat temujanji bagi konsultasi dan rawatan susulan di 59 klinik-klinik Selcare dan panel Klinik Swasta di seluruh negeri Selangor. Sejumlah 16% peserta atau 2221 pesera telah didiagnosis menghidapi penyakit buah pinggang kronik tahap sederhana dan tinggi dan dirujuk kepada pegawai perubatan di klinik-klinik panel dan pakar nefrologi dari HPUPM.
Bagi program Selangor Kanser (SelCAN) pula, sebanyak 797 ujian mammogram bagi saringan kanser payudara, 5238 saringan HPV-PCR bagi saringan kanser pangkal rahim, 729 ujian iFOBT bagi saringan kanser kolorektal dan 1302 ujian PSA bagi saringan kanser prostat telah dilaksanakan. Pesakit-pesakit dengan hasil ujian positif dan berisiko dirujuk ke peringkat diagnostik selanjutnya oleh pakar-pakar terpilih di institusi perubatan tertiari seperti Hospital UITM Puncak Alam, National Cancer Society, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pengajar UPM, dan lain-lain. Di peringkat ini, program SelCAN dapat mengesan kes-kes yang perlu menjalani ujian pengesahan kanser tahap akhir iaitu sebanyak 1 kes dalam kategori ‘malignant’ dan 7 kes dalam kategori ‘benign’.
-
Apakah perancangan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat Selangor?
Bagi tahun 2023, terdapat beberapa tumpuan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat Selangor berdasarkan keutamaan kesihatan dan memberi tumpuan kepada penjagaan pencegahan ataupun “preventive care” dan sedikit sebanyak untuk penjagaan kuratif:
Program Selangor Saring
Program Selangor Saring merupakan program saringan kesihatan yang dilaksanakan bagi membolehkan pengesanan awal penyakit dalam kalangan penduduk Selangor. Objektif Selangor Saring adalah untuk membolehkan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit, kansedan penyakit mata terpilih. Golongan sasaran merupakan penduduk di Negeri Selangor yang mempunyai faktor-faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit.
Antara ujian-ujian yang akan dilakukan pada hari saring tersebut adalah ujian fizikal, ujian darah, ujian air kencing, saringan mata, swab servik, ujian ifobt dan ujian mammogram. Selangor Saring menekankan lokasi mesra kejiranan supaya orang ramai lebih mudah untuk ke tapak yang paling dekat dengan mereka.
Program “Mental SEHAT”
Selangor Mental Sihat (SEHAT) telah secara rasminya dilancarkan hampir dua setengah tahun yang lalu iaitu pada 30 Ogos 2021. Inisiatif kerajaan negeri untuk menangani isu kesihatan mental oleh rakyat Selangor melalui pendekatan “digital intervention” menggunakan aplikasi Selangkah yang boleh dimuat turun di telefon pintar, adalah yang pertama seumpamanya di negara ini. Bagi pelaksanaan program subsidi kesihatan mental, ianya akan melibatkan kerjasama di antara Malaysian Psychiatric Association (MPA), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan klinik SELCARE. Subsidi ini akan melibatkan 700 sesi konsultasi pesakit yang akan dirujuk kepada pakar psikiatri di bawah MPA.
Ada beberapa program ditambahbaikan daripada program yang sedia ada seperti:
Program “Mental SEHAT”
Bagi meningkatkan kesedaran tingkah laku bunuh diri, Kerajaan Negeri dengan Universiti Cyberjaya akan menjalankan projek kesedaran tingkah laku bunuh diri. Program ini berfokus untuk menyedarkan orang ramai dalam kumpulan organisasi bukan perubatan dan kesihatan mental dengan tujuan 1) menghapuskan pantang larang dan mitos yang berkaitan dengan kecederaan diri dan tingkah laku bunuh diri 2) Melatih sukarelawan untuk bertindak balas berkesan apabila menghadapi krisis bunuh diri 3) menghasilkan video tindak balas apabiala menghadapi krisis bunuh diri
Nutrisi awal kanak kanak
Projek MindUp bertujuan untuk mewujudkan ruang khusus dalam komuniti setempat untuk menyediakan mereka untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dalam 1000 hari pertama kehidupan. Di MindUp, sebanyak 800 wanita hamil, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di bawah umur dua tahun – dikenali sebagai 1,000 hari pertama kehidupan isi rumah akan mempelajari tentang pertumbuhan dan perkembangan anak mereka dan juga amalan pemakanan yang baik. MindUp juga menggalakkan komuniti untuk belajar secara aktif tentang pertumbuhan kanak-kanak dan menyokong 1,000 hari pertama kehidupan isi rumah dalam komuniti mereka. Lokaliti projek ini adalah di daerah Petaling and Hulu Langat yang mempunyai statistiks yang tinggi dalam masalah bantut dan kekurangan berat badan.
Penuaan secara sihat
Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan menjelang 2040, jumlah rakyat yang berusia 65 tahun dan ke atas akan meningkat sehingga tiga kali ganda. Realitinya, penuaan pesat penduduk memberi beberapa cabaran kepada negara maju dan membangun. Justeru, keperluan penuaan yang sihat menjadi teras untuk berdepan dengan cabaran ini. Program pencegahan kelemahan ataupun “frailty” akan dilaksanakan melalui program Selangor Health Partnership Program (SELHEP). Objektif projek ini adalah untuk 1) penilaian asas keadaan perubatan dan saringan kelemahan, 2) modul kesedaran dan pendidikan melalui ceramah interaktif, 3) sesi senaman optimum yang ringkas dan praktikal dan 4) rawatan fisioterapi memenuhi keperluan individu. Projek ini akan memberi manfaat kepada 2100 warga emas di Selangor.
Literasi Kesihatan
Objektif Projek Rebung adalah untuk mengurangkan halangan pengesanan diagnosis awal kanser pada kumpulan bandar B40. Projek Rebung meliputi modul Latihan echo untuk para doktor keluarga, kursus rakan pembimbing kanser komuniti, kursus untuk jururawat komuniti. Projek ini juga akan mendigitalasikan panduan navigasi kanser untuk pengamal perubatan. Projek ini akan memberi manfaat kepada 7000 penduduk warga Selangor dan 150 pengamal perubatan keluarga.
Obesiti
Program Tower Running ini adalah untuk menangani peningkatan berat badan berlebihan dan kes obesiti di negeri Selangor. Program “Tower Running” akan dilaksanakan di PPR yang terpilih di Selangor dan di pejabat SUK dengan bimbingan melalui inisiatif Duta Kesihatan Selangor. Projek ini akan memberi manfaat kepada seramai 5000 warga PPR dan warga SUK.
Promosi Kesihatan
Konsortium Promosi Kesihatan Selangor – Objektif utama konsortium promosi kesihatan Selangor ditubuhkan adalah untuk mempertingkatkan taraf kesihatan dan kualiti kehidupan individu, keluarga dan komuniti menerusi aktiviti-aktiviti promosi kesihatan yang komprehensif. Ini dicapaikan melalui kerjasama antara hospital, NGO dan syarikat pharma di Selangor.
Program Vaksinasi Infleunza dan Pneumokokal
Program ini akan melibatkan pemberian vaksin secara percuma kepada warga emas yang berisiko tinggi melalui klinik -klinik di Selangor.