Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
42) SARING SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila senaraikan skop dan aktiviti-aktiviti SARING Selangor untuk penduduk negeri Selangor.
Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pemeriksaan kesihatan awal boleh membantu mengesan penyakit tertentu pada peringkat awal. Banyak kajian telah menunjukkan beberapa manfaat saringan awal kesihatan seperti:
- membantu individu mengetahui tahap kesihatan diri dan mengesan sebarang abnormaliti lebih awal;
- memberikan individu dan doktor lebih banyak masa untuk merancang rawatan terbaik untuk penyakit tersebut;
- membantu individu mendapatkan rawatan yang lebih awal bagi meningkatkan peluang untuk sembuh; dan
- membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan kelangsungan hidup individu.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat juga, sekiranya individu tersebut melakukan sekali sahaja ujian saringan, maklumat yang akan diketahui adalah berkaitan kesihatan semasa sahaja. Namun, jika ia saringan kesihatan ini diadakan secara berkala dan kerap, maka ia akan membantu doktor mengesan sebarang keadaan abnormal yang mungkin baru terjadi atau semakin teruk berbanding pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum itu.
Justeru, pengenalan Program Selangor Saring bermula pada tahun ini merupakan langkah yang tepat dalam meningkatkan kesedaran awam akan kepentingan menjalani saringan kesihatan awal dan saringan secara berkala.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhomrat, program Selangor Saring menawarkan saringan-saringan seperti berikut:
- Saringan bagi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang melalui saringan fizikal, ujian darah dan ujian air kencing.
- Saringan bagi 4 jenis kanser:-
- Kanser Payudara:
- Ujian mammogram/ultrasound/biopsi di hospital panel selepas mendapat tarikh temujanji melalui aplikasi SELangkah.
- Kanser Serviks:
- Pemberian dan cara penggunaan Human Papillomavirus (HPV) swab kepada pesakit untuk pengambilan sampel di tapak dan dihantar ke makmal untuk ujian.
- Kanser Kolorektal:
- Pengambilan sampel najis (IFOBT) oleh pesakit dan di hantar ke makmal.
- Kanser Prostat:
- Pengambilan sampel darah dan melakukan ujian Prostate Specific Antigen (PSA) di makmal; dan
- Saringan pemeriksaan mata seperti rabun, glaukoma dan retina.
Bermula 21 Mei sehingga 17 Julai 2022, sebanyak 27 Dun telah terlibat bagi program ini dengan sejumlah 7,422 sampel (ujian darah dan ujian air kencing) telah dianalisis manakala sebanyak 1,528 sampel bagi saringan kanser. Daripada jumlah 1,528 sampel bagi saringan kanser tersebut, sebanyak 25 sampel (1.6 peratus) telah didapati positif. Kanser kolorektal mencatatkan peratusan positif tertinggi iaitu sebanyak 5.19 peratus manakala kanser serviks adalah terendah iaitu 1.07 peratus. Perincian keseluruhan saringan akan diberikan secara bertulis.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, program Selangor Saring dilaksanakan dalam bentuk siri jelajah di kesemua 56 Dun bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima manfaat melalui program ini. Bagi menyertai program ini, orang awam digalakkan melakukan pra-pendaftaran di aplikasi Selangkah dan menjawab kesemua soalan yang diberikan. Langkah ini bertujuan mengetahui sejarah kesihatan individu dan jenis saringan yang sesuai dijalankan semasa hari saringan.
Selepas itu, baucar saringan akan diberikan berdasarkan jawapan yang telah lengkap dijawab dan baucar tersebut perlu dikemukakan kepada petugas saringan. Pemohon juga mempunyai pilihan bagi memilih tarikh dan tempat saringan pada aplikasi Selangkah. Bagi individu yang tidak mempunyai akses telefon bimbit atau mengalami masalah teknikal, mereka boleh mendaftar secara walk in dan melengkapkan pendaftaran secara manual di tapak saringan.
-
Berapakah jumlah dana yang diperuntukkan untuk program ini?
Bagi memastikan kelancaran program Selangor Saring, sejumlah RM3.1 juta telah diperuntukkan bagi keseluruhan program ini, iaitu sebanyak RM1.5 juta bagi program Selangor Saring, RM1.5 juta bagi program Selangor Kanser (SelCan) dan RM100,000.00 bagi program Pemeriksaan Kesihatan Mata.
-
Berapakah jumlah dan peratusan diperuntukkan untuk pengurusan dan pentadbiran program ini dan jumlah sumber manusia yang diperlukan untuk pelaksanaan?
Kos pengurusan dan pentadbiran bagi pelaksanaan program Selangor Saring, Selangor Kanser (SelCan) dan Pemeriksaan Kesihatan Mata adalah sebanyak RM866,870.00 atau bersamaan dengan 28 peratus daripada kos keseluruhan program ini.
Jumlah tenaga kerja yang terlibat adalah seramai 36 orang bagi setiap kawasan saringan yang merangkumi pakar perubatan kesihatan, pegawai perubatan kesihatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih, pekerja-pekerja am, Sukarelawan Kesihatan Awam (SUKA), petugas makmal, petugas teknikal dan media.