Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

91) SARING SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila beri apa jenis saringan yang akan ditawar oleh Kerajaan Negeri untuk program SARING Selangor.

    Pemeriksaan kesihatan wajar dilakukan bagi memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan yang baik selain dapat membantu mengesan penyakit tertentu di peringkat lebih awal. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa pengesanan awal penyakit dapat membantu dari sudut perancangan rawatan yang lebih baik terutamanya bagi mengelak implikasi penyakit tidak berjangkit (NCD). Pemeriksaan kesihatan adalah antara langkah pencegahan penyakit yang sangat penting seperti mana prinsip yang dipegang dalam pengurusan kesihatan iaitu ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

    Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Saring Selangor yang dijangka bermula pada Mei 2022 ini di kesemua 56 DUN melalui Program Jelajah Sihat Selangor. Program Saring Selangor akan melibatkan beberapa saringan asas kesihatan seperti ;

    i. Ujian tekanan darah
    ii. Ujian kandungan gula dalam darah (HbA1c)
    iii. Pemeriksaan air kencing

    Dalam program Jelajah Sihat Selangor ini juga akan dilakukan ujian saringan kanser yang akan melibatkan saringan khusus kepada tiga (3) jenis kanser iaitu :

    i. Ujian papsmear untuk mengesan kanser pangkal rahim (serviks)
    ii. Ujian mamogram untuk mengesan kanser payudara
    iii. Ujian najis (FOBT-Fecal Occult Blood Test) untuk mengesan kanser kolorektal

    Selain itu, pemeriksaan mata serta saringan kesihatan mental juga akan dibuat dalam program Saring Selangor ini. Kaunter khusus untuk pengambilan vaksin penggalak Covid-19 dan juga vaksin kepada kanak-kanak (SelVAX Kids) juga akan dibuka semasa program Saring Selangor ini berlangsung.

    Program ini terbuka kepada golongan sasar berikut:

    i. Penduduk negeri Selangor yang berisiko ;
    ii. Penduduk negeri Selangor yang mempunyai sejarah penyakit ; dan
    iii. Golongan ibu bapa Anak Istimewa (ANIS)

    Individu yang menjalani saringan melalui program Saring Selangor ini juga akan dapat mendapat rujukan (referral) kepada klinik kesihatan, hospital kerajaan, Klinik Selcare, program PEKA B40, NGO-NGO dan juga jabatan-jabatan lain yang berkaitan sekiranya memerlukan.

     

  2. Apakah jumlah peruntukan yang bakal dibelanjakan dan siapa agensi yang diberi tanggungjawab tersebut?

    Bagi tujuan kelancaran program ini, sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaannya di 56 DUN. Program ini dicadang diselaras dan diselia oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri yang mempunyai pengalaman di dalam pengurusan program kesihatan awam di negeri Selangor sebelum ini seperti program saringan bersasar dan program Vaksin Selangor (SelVAX). Pelantikan Selgate Healthcare Sdn Bhd juga membolehkan individu yang menjalani saringan menerima saringan lengkap termasuk dari aspek referral kepada klinik kesihatan dan klinik panel Selcare, dan juga hospital-hospital kerajaan. Bagi memastikan setiap individu yang menjalani saringan mendapat referral yang lengkap, program ini juga akan mendapat kerjasama daripada institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga badan bukan kerajaan (NGO) seperti ROSE Foundation.

    Program Saring Selangor ini juga akan digerakkan oleh Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di 56 Dun di Selangor sebagai antara penggerak utama dalam membantu melancarkan program Saring Selangor ini di peringkat komuniti.

    SUKA akan terlibat dalam mempromosikan program ini dan juga sebagai petugas khas ketika program Saring Selangor ini berlangsung

Lampiran

Tiada Lampiran.