Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
193) SANITASI RUMAH IBADAT
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan memberikan perkhidmatan sanitasi ke atas rumah-rumah ibadat di Selangor?
Tidak . Proses sanitasi di masjid dan surau di Negeri Selangor masih lagi tidak menggunapakai peruntukan Kerajaan Negeri tetapi dilakukan oleh :-
- Pegawai dan ahli jawatankuasa masjid serta surau secara berkumpulan berdasarkan langkah-langkah proses sanitasi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesitanan Malaysia (KKM).
- Pihak syarikat swasta berpengalaman yang dilantik oleh masjid dan surau.
- Pihak swasta yang menawarkan khidmat sanitasi secara percuma (Program CSR)
-
Nyatakan prosedur dan langkah yang telah diambil kerajaan negeri dalam memastikan rumah ibadat bebas daripada wabak pandemik Covid-19?
Langkah yang telah diambil Kerajaan Negeri bagi memastikan rumah ibadat bebas dari wabak Covid-19 :-
- Menangguhkan sementara semua aktiviti solat fardhu berjemaah, Solat fardhu Jumaat dan kuliah dan aktiviti kemasyarakatan di masjid dan surau serta hanya membenarkan pegawai khas yang ditugaskan sahaja untuk hadir ke masjid dan surau
- Menangguhkan semua kerja-kerja baik bulih dan peyelenggaraan masjid dan surau yang tidak kritikal.
- Melaksanakan proses pencegahan (sanitasi) secara berkala
- Menguatkuasakan titah D.Y.M.M. Sultan Selangor dengan membuat pemantauan berkala dan mengambil tindakan undang-undang dibawah Seksyen 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995
- Mengoperasikan semula masjid secara berperingkat bermula Solat Fardhu Jumaat dan Solat Fardhu Isyak, Maghrib dan subuh berjemaahj bermula dari 12 orang, 40 0rang dan 150 orang.
- Menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Solat Fardhu Jumaat Dan Solat Fardhu Subuh , Maghrib dan Isyak berjemaah untuk dipatuhi oleh Pegawai dan jawatankuasa masjid serta jemaah yang akan hadir dan mempraktikan normal baru kehidupan.
- Menutup semula operasi masjid yang berada di zon merah atau kuning dengan serta merta walaupun telah mendapat kebenaran melaksanakan Solat Fardhu Jumaat dan Solat Fardhu berjemaah.
- Pelaksanaan kawalan kendiri setiap Jemaah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka (face mask) ketika hadir di Masjid dan Surau serta mengamalkan penjarakan sosial. Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di Masjid dan Surau.
Dengan pelaksanaan dan langkah-langkah yang di ambil ini telah menyebabkan wabak COVID-19 menunjukkan penurunan yang baik.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan peka terhadap kebajikan masyarakat yang ingin menjalankan aktiviti ibadah di rumah-rumah ibadat termasuk rumah ibadat selain Islam. Satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kebenaran pembukaan semula Rumah Ibadat Selain Islam kepada orang awam telah dirangka oleh Selangor Task Force Covid-19 (STFC) pada Jun 2020 yang lalu dan SOP ini telah dibentangkan pada satu taklimat yang diadakan pada 18 Jun 2020 dan dihadiri oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ketua-ketua persatuan agama induk, jabatan-jabatan yang berkaitan serta pengamal media. Sebagai tambahan, SOP ini juga telah diedarkan kepada agensi di bawah kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Negeri Selangor (JPNIN), Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor (MKN Selangor) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor (Polis Diraja Malaysia) pada 30 Jun 2020 yang lalu.
SOP ini telah menetapkan kebenaran untuk hadir ke Rumah Ibadat Selain Islam dengan mengambil kira pengelasan peringkat umur serta tahap Kesihatan bagi individu yang dibenarkan hadir ke rumah ibadat. Selain itu, persiapan dari segi logistik dan kehadiran maksimum juga diambil kira di dalam SOP tersebut. Setiap rumah ibadat perlu mempunyai pegawai yang bertanggungjawab menjaga logistik dan mengawal arah laluan serta penjarakan sosial tempat duduk.
Selain itu juga, SOP tersebut telah menetapkan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan dan dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini berjalan.
Rumah-rumah ibadat selain Islam juga disarankan untuk membuat penjejakan kontak melalui sistem SELangkah. Kod QR SELangkah ini perlu diletakkan di pintu masuk dan keluar yang mana akan membantu memudahkan penjejakan kontak sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 di sesuatu lokaliti.