Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
92) SAMPAH HARAM GOMBAK
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini tempat pembuangan sampah haram di lokasi berikut: Kg. Sg. Pusu & Batu 9 Gombak berhampiran Restoran Nelayan Gombak?
Bagi lokasi di Kampung Sungai Pusu, tindakan penguatkuasaan telah diambil di mana Notis 7A ke atas pemilik tanah telah dikeluarkan. Lanjutan daripada itu, tindakan rampasan jentera, operasi statik dan rampasan tanah hak milik yang terlibat dengan pembuangan sampah haram juga telah dibuat.
Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak juga turut mengambil tindakan memagar tanah hak milik kerajaan bersebelahan lokasi pembuangan sampah haram tersebut bagi mengelak sampah haram dibuang di atas tanah hak milik kerajaan.
Bagi lokasi di Batu 9 berhampiran Restoran Nelayan pula, Notis 7A bagi tempoh
21 hari dengan syarat ‘memungut, membersihkan dan membuang sampah ke tempat pelupusan sampah yang diwartakan serta memagarkan kawasan mengikut hak milik tersebut’ telah dikeluarkan pada 4 November 2015 kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat dengan aktiviti pembuangan sampah haram. Namun begitu, notis gagal disampaikan kepada kesemua 30 pemilik yang berdaftar. Oleh yang demikian, PDTG akan mengambil tindakan susulan selaras dengan Seksyen 128-130 Kanun Tanah Negara 1965.
Kegiatan pembuangan sampah haram masih berlaku walaupun PDTG telah menjalankan operasi statik di kawasan terlibat. Bidang kuasa Pentadbir Tanah adalah terhad di mana tindakan hanya boleh diambil ke atas pemilik tanah sedangkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak kontraktor pembuangan sampah masih belum ditangani sepenuhnya. Oleh yang demikian, peranan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain adalah sangat diperlukan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram ini kerana ia turut melibatkan kegiatan gangsterism.
-
Kenapakah tindakan merampas tanah gagal dan dinafikan oleh mahkamah di Kg. Sg. Pusu Gombak?
PDTG telah mengeluarkan Notis 7A bertarikh 2 Julai 2015 bagi tempoh 30 hari dengan syarat memulihkan semula kategori penggunaan tanah kepada pertanian dan syarat nyata seperti yang termaktub dalam hak milik iaitu tanaman am. Seterusnya Notis 7B bertarikh 8 September 2015 bagi tujuan siasatan telah dikeluarkan dan didapati tuan tanah gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Notis 7A. Seterusnya, Notis 8A bagi perampasan tanah telah dikeluarkan pada 17 September 2015 di mana kemudiannya pemilik tanah telah mencabar keputusan Pentadbir Tanah di mahkamah.
Berdasarkan maklumat daripada Kamar Penasihat Undang- Undang Negeri, tindakan merampas tanah di Sungai Pusu telah dinafikan oleh mahkamah berikutan tempoh masa yang diberikan kepada pemilik tanah untuk memulihkan tanah tersebut adalah singkat dan tidak memadai.