Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

9) SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan dalam bidang pembangunan sains, teknologi dan inovasi?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menerapkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di kalangan pelajar dan penjawat awam Selangor. Pelbagai program pembudayaan inovasi dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti dilaksanakan pada setiap tahun dengan kerjasama universiti di bawah Kerajaan Negeri iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Antara program yang telah dijalankan adalah seperti ICT Bootcamp, Program Karnival Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM) dan Program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor (INNOTECH).

     

    Pada tahun 2023 pula, telah dijalankan Program Latihan Pensijilan Selangor Government Digital Training dengan kerjasama Cybersecurity Malaysia untuk penjawat awam skim F (Sistem Maklumat) di Negeri Selangor. Selain itu, satu Program Kempen Kesedaran bagi Peraduan Penggunaan Aplikasi Citizen E-Payment (CEPaT) Tahun 2023 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor telah dijalankan dengan kerjasama SSDU Innovations Sdn Bhd. Program ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai khususnya rakyat Negeri Selangor berkenaan aplikasi CEPat sebagai salah satu medium pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri di samping menyokong hasrat Kerajaan Negeri bagi memastikan Negeri Selangor terus mendepani negeri-negeri lain di Malaysia untuk merealisasikan agenda nirtunai (cashless) dalam kalangan masyarakat.

     

    Menerusi Pelan Tindakan Smart Selangor (SSAP) 2025, Kerajaan Negeri terus komited untuk memperkasakan perkhidmatan yang berasaskan teknologi inovasi dan pendigitalan. Di antara inisiatif-inisiatif utama yang telah dilaksana oleh Kerajaan Negeri termasuklah pembangunan Infrastruktur Digital Smart Selangor yang diupayakan oleh teknologi pengkomputeran awan di Smart Selangor Hybrid Data Centre (SSDC), penggunaan aplikasi berpusat (seperti CEPat, Smart Selangor Parking, Selangor Intelligent Transport System) serta pembangunan platform data raya bagi meningkatkan kesalinghubungan dan perkongsian data. Di samping itu, Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC) yang beroperasi di Dewan Jubli Perak turut dilengkapkan dengan peralatan, perkakasan dan teknologi infrastruktur digital bagi mengupayakan pemantauan dan kawalan secara bersepadu sekiranya berlaku insiden bencana. Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) juga telah beroperasi di tiga (3) Pejabat Tanah Daerah (iaitu Petaling, Klang dan Hulu Langat) bagi tujuan yang serupa dan pada tahun ini baki enam (6) buah DDOC akan dibangunkan. Kesemua DDOC ini nanti akan dihubungkan ke SSOC bagi memperkasakan pemantauan pengurusan bencana yang lebih bersepadu yang diupayakan oleh teknologi digital.

     

    Selain itu, bagi menyemai budaya inovasi dikalangan masyarakat, Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan pertandingan Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) setiap tahun. AINS merupakan gabungan antara Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Selangor (diperkenalkan mulai tahun 2010) dan Program Cabaran My Innovation (diperkenalkan pada tahun 2014) yang bertujuan untuk memberi peluang kepada semua penduduk di Negeri Selangor yang meliputi individu / orang perseorangan / penjawat awam, syarikat swasta, pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam mencetus idea baru yang kreatif dan inovatif ke arah pembudayaan inovasi di Negeri Selangor. Jumlah penyertaan bagi pertandingan AINS Tahun 2023 adalah sebanyak 220 penyertaan.

  2. Adakah kerajaan ada perancangan untuk menyediakan insentif kepada golongan pelajar yang terlibat dalam World Robotic Competiton ?

    Kerajaan Negeri mengambil maklum penyertaan pelajar yang terlibat dalam World Robotic Competition bagi tahun 2023 dan 2024 adalah seperti berikut:

    Tahun Nama Sekolah Pencapaian Penyertaan Pembiayaan/ Anjuran
    2023 SJKC Puay Chai 2, Petaling Jaya i)     Emas bagi kategori Robomission Elementary

    ii)    Emas bagi kategori Future Innovators Elementary

    World Robot Olympiad 2023 International Final Panama City, Panama

    Pembiayaan oleh: Kementerian Pendidikan Malaysia

     

    Anjuran:

    Panama

    2023 SMJK Kwang Hua, Klang Emas bagi kategori Robomission Junior
    2023 SMK Katholik (M), Petaling Jaya Emas bagi kategori Future Innovators Junior
    2023 SMJK Kwang Hua, Klang Tempat Ketiga kategori Robomission Junior

    World Robot Olympiad Friendship Invitation Tournament 2023

    Odense, Denmark

    Pembiayaan oleh: Kementerian Pendidikan Malaysia

     

    Anjuran:

    Odense, Denmark

    2024 SK Taman Ehsan, Gombak Excellent Award

    The World Robotics Competition Finals 2023, China

    Sempena Program Malaysia Techlympics 2023

    Pembiayaan oleh: Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi

     

    Anjuran:

    Institut Elektronik China

     

     

    Justeru, bagi menghargai penglibatan dalam mengharumkan nama negara dan khususnya negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan mempertimbangkan suatu bentuk insentif kepada empat (4) buah sekolah di Selangor ini berdasarkan pencapaian di dalam kejohanan yang disertai. Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian oleh pelajar dari negeri Selangor dan sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam meningkatkan minat para pelajar kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

  3. Apakah perancangan kerajaan dalam usaha untuk mencungkil bakat golongan pelajar dalam bidang pembanguanan sains, teknologi dan inovasi?

    Kerajaan Negeri sentiasa menyokong kepada usaha-usaha untuk mencungkil bakat golongan pelajar dalam bidang pembangunan sains, teknologi dan inovasi. Antara fokus di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) adalah menerusi inisiatif Program Pembangunan Kemahiran STEM atau subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Oleh itu, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program-program berkaitan STEM melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan.

     

    Pada 29 dan 30 Januari 2024, telah diadakan Karnival Eksplorasi STEM Peringkat Negeri Selangor Tahun 2023/2024. Ia merupakan satu platform perkongsian dan pengembangan hasil kajian penyelidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik para pelajar. Turut diadakan adalah pertandingan-pertandingan bagi membuka ruang kepada pelajar untuk memahami dan menghayati elemen Sains dan Matematik.

     

    Melalui program ini, para pelajar diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan keupayaan mereka dalam mengaplikasi kemahiran subjek STEM. Program ini diharap melahirkan para pelajar yang berbakat besar di dalam dunia penyelidikan dan juga dapat menghasilkan projek-projek Sains, Teknologi,  Kejuruteraan dan Matematik bertaraf dunia.

     

    Kerajaan Negeri juga, dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS) menganjurkan program inovatif dengan pendekatan yang berbeza-beza pada setiap tahun bagi memastikan pelajar-pelajar terus berminat mengekplorasi bidang sains, teknologi dan inovasi terutama bagi pelajar di kalangan keluarga B40 di Selangor.

     

    Bermula pada tahun 2022 telah diadakan Program Kemahiran Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Selangor 2022 atau lebih dikenali sebagai INNOTECH 2022 pelajar telah didedahkan dengan 4 bidang ICT iaitu Sains dan Teknologi Maklumat, Kreatif Multimedia dan Media Baru, Keusahawanan Digital serta Teknologi Masa Depan. Seterusnya, INNOTECH 2023, diteruskan dengan pengenalan enam (6)  modul lain dalam bidang ICT iaitu Asas Robotik, Videografi Mudah Alih, Reka Bentuk Grafik  Berbantukan Kepintaran Buatan, Pembangunan Dunia Maya, Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Tanpa Pengaturcaraan dan Asas Reka Bentuk Cetakan 3D untuk memberi pendedahan kepada pelajar potensi bidang-bidang untuk diceburi pada masa hadapan.

Lampiran

Tiada Lampiran.