Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

212) RUNDINGAN PENSTRUKTURAN SEMULA AIR NEGERI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan terkini proses rundingan penstrukturan air Negeri Selangor dengan syarikat konsesi dan Kerajaan Persekutuan?

    Rundingan mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor telah dibuat semenjak tahun 2008 lagi.  Pada 12 Februari 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran awal sejumlah RM5.7 bilion kepada Pemegang Konsesi.  Namun demikian, kesemua Pemegang Konsesi Air telah menolak tawaran tersebut atas alasan bahawa nilai yang ditawarkan itu adalah rendah dan tidak cukup untuk menampung obligasi hutang Pemegang Konsesi.

    Lanjutan dari penolakan oleh Pemegang Konsesi terhadap tawaran asal tersebut, penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor telah mencapai jalan buntu.  Bagi mengatasi kebuntuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memulakan semula rundingan dengan Kerajaan Negeri Selangor.  Rundingan semula ini telah bermula pada 25 Mei 2009 di mana satu jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor telah diwujudkan di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).  Mesyuarat Jawatan Kuasa penstrukturan tersebut dipengerusikan oleh Ketua

    Setiausaha KTTHA dan dianggotai oleh agensi Kerajaan Persekutuan iaitu

    Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).  Pasukan dari Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggotanya terdiri dari Y.B. Penasihat Undang-undang, Y.B. Pegawai Kewangan Negeri, Unit Perancang

    Ekonomi Negeri, Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar, Pegawai Penyelidik kepada YAB Dato Menteri Besar, wakil Pejabat kepada YAB Dato Menteri Besar dan Kumpulan Darul  Ehsan Berhad (KDEB) adalah turut menjadi ahli di dalam Jawatan Kuasa Penstrukturan peringkat Kerajaan Persekutuan.

     

     

    Peranan dan Tanggungjawab jawatan kuasa penstrukturan semula industri air negeri Selangor adalah  seperti berikut:-

    1. Mengkaji dan menilai cadangan konsep da model penstrukturan dan opsyen yang sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan selari dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).
    2. Melaksanakan opsyen yang telah dipersetujui termasuk mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat dalam penstrukturan semula ini mengikut opsyen yang telah dipersetujui.
    3. Memperakukan hasil rundingan kepada pihak yang membuat keputusan iaitu:
    4. KTTHA memperakukan kepada Kabinet; dan
    5. Kerajaan Negeri Selangor memperakukan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
    6. Menyediakan perjanjian yang berkaitan dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

    Antara 25 hingga 29 Mei 2009, Kerajaan Negeri Selangor telah membentangkan model penstrukturan semula negeri Selangor ke dalam Jawatan kuasa tersebut.  Model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri

    Selangor adalah pengambilalihan kesemua Syarikat Konsesi Air di Selangor dan seterusnya satu operator yang terdiri dari syarikat milik penuh Kerajaan Selangor akan dilantik Single Operator dalam mengendalikan perkhidmatan air secara holistik bermula dari rawatan hingga pengagihan air kepada pengguna di Negeri Selangor.

    PAAB turut membentangkan opsyen penstrukturan di mana SYABAS dan Puncak Niaga disatukan sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAN untuk agihan dan rawatan manakala ABASS dan SPLASH dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN.

    Namun Jawatan Kuasa akhirnya bersetuju supaya Model Selangor digunakan di dalam rundingan bersama Pemegang Konsesi.  Lanjutan dari persetujuan ke atas Model Selangor, pasukan rundingan dengan Pemegang Konsesi telah mengujudkan Jawatan Kuasa Induk Rundingan dan Jawatan Kuasa Kerja di peringkat Negeri Selangor.  Jawatan Kuasa Induk Rundingan diketuai oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut dianggotai oleh wakil dari KTTHA adalah berperanan untuk mengemukakan dan merundingkan harga tawaran kepada Pemegang Konsesi. Manakala Jawatan Kuasa Kerja diketuai oleh Penasihat Kewangan kepada YAB Dato Menteri Besar Selangor dan dihadiri oleh wakil dari Syarikat Konsesi Air. Jawatan Kuasa Kerja adalah berperanan untuk membincangkan dengan wakil Syarikat Konsesi secara terperinci dari segi kewangan yang berkaitan dengan  harga yang telah ditawarkan tersebut dan seterusnya melaporkan kepada Jawatan Kuasa Induk Rundingan.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan rundingan bersama dengan keempat-empat syarikat pemegang konsesi air. Tawaran pengambilalihan syarikat konsesi air menggunakan Model holistik Negeri Selangor diterima oleh SPLASH dan ABASS, manakala SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd menolak tawaran tersebut. Nilai tawaran pada ketika ini adalah pada nilai RM9.2 bilion.

    Lanjutan tidak mendapat persetujuan dari kesemua syarikat pemegang konsesi ke atas Model holistik Kerajaan Negeri Selangor, pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) telah  bersetuju supaya Model Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) digunakan untuk proses penstrukturan semula di Selangor.

    Di bawah Model PAAB ini, SYABAS akan  dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai operator agihan manakala ABASS, SPLASH dan  Puncak Niaga dikekalkan sebagai operator rawatan dan diberikan authorisation oleh SPAN. Di bawah Model PAAB ini juga, pegangan ekuiti Kerajaan Negeri Selangor  di dalam SYABAS akan ditingkatkan dari 30% kepada 49% manakala pegangan ekuiti Puncak Niaga di dalam SYABAS akan dikurangkan dari 70% kepada 51% dan saham emas akan kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.

    Penerimaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap Model PAAB adalah tertakluk kepada beberapa syarat seperti berikut:-

     

    1. Terma-terma dan syarat-syarat yang mengehendaki pengurusan SYABAS yang profesional, berkebolehan dan efisien akan dimuktamadkan di dalam Perjanjian Pemegang Saham yang akan ditandatangani di antara pemegang ekuiti SYABAS dan Kerajaan Negeri Selangor; dan
    2. Model PAAB dipersetujui untuk diterima oleh keempat-empat syarikat pemegang konsesi air negeri Selangor.

    Antara 16 Mac 2010 hingga 23 Mac 2010, pihak KTTHA  telah membuat rundingan bersama kesemua syarikat konsesi air bagi memaklumkan nilai untuk pengambilalihan oleh PAAB.  Kesemua syarikat konsesi air diberi tempoh sehingga 06 April 2010 untuk memberikan maklum balas ke atas tawaran tersebut.  Nilai tawaran pengambilalihan adalah pada nilai RM10. 3 bilion.   SPLASH dan ABASS telah menolak tawaran oleh KTTHA tersebut.  SPLASH pada masa yang sama turut mengumumkan untuk mengambil alih semua syarikat air di Selangor pada nilai tawaran yang serupa dengan PAAB. Puncak juga mengemukakan cadangan pengambilalihan kepada KTTHA.

     

    Berikutan dari gagalnya penerimaan Model PAAB tersebut, pada 29 dan 30 Julai 2010, KTTHA telah mengadakan satu retreat bagi membincangkan semula kaedah untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.  Di dalam retreat tersebut, wakil Kerajaan Selangor telah dimaklumkan oleh KTTHA bahawa Model Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor yang telah dipersetujui untuk diterima pakai dalam melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri Selangor adalah Model Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 08 Julai 2009.

    Melalui Model tersebut, kesemua pemegang konsesi air Negeri Selangor akan terus beroperasi sehingga tamat tempoh konsesi mereka. Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan mengambil alih semua aset dan liabiliti yang berkaitan dengan industri air dari kesemua Pemegang Konsesi dan Pemegang Konsesi akan beroperasi sebagai operator operasi dan penyelenggaraan (Operation and Maintenance Operator) secara asset light. Sebagai balasan kepada operator di bawah Model ini, Operator Rawatan Air iaitu Puncak, SPLASH dan ABASS akan menerima bayaran melalui Bulk Supply Rate (BSR), manakala Operator Agihan iaitu SYABAS akan menerima bayaran melalui tarif air.

    Ekuiti Pegangan dalam SYABAS akan berubah di mana melalui Model ini,  pegangan Puncak sebanyak 70% akan dikurangkan kepada 51% manakala pegangan Kerajaan Negeri akan ditingkatkan dari 30% kepada 49%. Satu Saham emas masih kekal dipegang oleh Kerajaan Persekutuan.

    Melalui Model ini, SYABAS akan diberikan lesen sebagai operator agihan manakala Puncak, SPLASH dan ABASS akan kekal diberi authorisation sebagai operator rawatan air yang akan beroperasi dengan  menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengikut peruntukan dan peraturan yang digariskan di bawah Akta Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).  Di bawah Model ini juga, semua aset bekalan air milik Kerajaan Negeri akan diambil alih oleh PAAB pada nilai sebanyak RM1.1 bilion dan jumlah hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan akan tolak dari nilai aset tersebut.  

     

    KTTHA memaklumkan supaya wakil Kerajaan Negeri di dalam SYABAS selepas perubahan pegangan ekuiti hendaklah dari kalangan Kerajaan Negeri sendiri bukan diwakili oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) atau mana-mana syarikat lain.

    Model tersebut tidak dapat diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana ia masih mengekalkan framentation  di dalam perkhidmatan air.  Kerajaan Negeri Selangor masih berpendirian Model Holistik adalah yang terbaik dapat menjamin industri perkhidmatan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mapan di samping dapat mengekalkan kos operasi dan tarif air yang munasabah.

    Memandangkan Model ini tidak dapat dimuktamadkan, pada 20 Oktober 2010, Mesyuarat Jawatankuasa Penstrukturan Air telah diadakan oleh KTTHA. Di dalam mesyuarat tersebut, KTTHA memaklumkan wakil Kerajaan Negeri Selangor memandangkan sehingga kini penstrukturan air di negeri Selangor masih belum dapat dimuktamadkan, maka adalah dicadangkan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan semula cadangan penstrukturan secara holistik yang akan dikemukakan oleh Syarikat Konsesi Air . KTTHA tidak ada halangan kiranya Model Holistik tersebut diterajui oleh mana-mana syarikat persendirian tetapi bukan oleh Kerajaan Negeri Selangor memandangkan Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan pengambilan balik syarikat konsesi air atas dasar willing buyer willing seller.

    YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dalam surat kepada KTTHA pada 22 Oktober 2010 memaklumkan bahawa pendirian Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan pelaksanaan Model Holistik dan akan membuat tawaran kepada Syarikat Konsesi Air dengan mengguna pakai kaedah di mana aset air akan diambil alih oleh PAAB manakala ekuiti akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor  dengan membayar pulangan pada kadar 12% kepada Pemegang Saham di dalam Syarikat Konsesi Air.

    Sekiranya nilai tawaran baru oleh Kerajaan Negeri Selangor ini tidak diterima oleh Syarikat Konsesi Air, maka perkara mengenai nilai tersebut akan dirujuk kepada Badan Timbang Tara Antarabangsa bagi tujuan untuk menentukan  fair market value nilai pampasan yang akan dibayar kepada Pemegang Saham.

    Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk memuktamadkan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini sebelum akhir tahun 2010 bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk ke atas operasi industri itu sendiri dan pasaran kewangan negara berikutan penurunan taraf (downgraded)  bon-bon berkaitan air di pasaran kewangan negara.

    Namun demikian, keputusan akhir mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor adalah tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri. Ini adalah kerana melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

  2. Sila nyatakan apakah langkah dan pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor sekiranya rundingan tersebut gagal dan bagaimanakah kedudukan tarif air selepas ini ?

    Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan mengenai nilai fair market value yang akan ditawarkan kepada Syarikat Konsesi Air dalam usaha untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor.  Sekiranya rundingan dengan semua Syarikat Konsesi Air gagal dimuktamadkan atas sebab nilai tawaran yang diminta oleh Syarikat Konsesi Air adalah tinggi, maka Kerajaan Negeri Selangor akan merujuk perkara mengenai nilai tawaran tersebut kepada Badan Timbang Tara Antarabangsa bagi tujuan untuk menentukan apakah nilai  fair market value yang sewajarnya dibayar kepada Syarikat Konsesi Air sebagai nilai pampasan mengambil alih  syarikat tersebut.

    Kerajaan Negeri Selangor maklum dan akur akan peruntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

    Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar kepada Pemegang Konsesi.  Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

    Kerajaan Negeri berpandangan bahawa penstrukturan yang dicadangkan oleh

    Kerajaan Negeri Selangor adalah mendukung dasar-dasar penyusunan semula Industri Perkhidmatan Air Negara yang telah ditetapkan dengan ciri-ciri sebagaimana yang telah dibahaskan di dalam persidangan Dewan Rakyat pada 30 Jun 2003 iaitu:-

    1. Industri perkhidmatan air diuruskan secara holistik melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan kerajaan Negeri;
    2. Operator perkhidmatan air yang dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan
    3. Operator yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Cadangan penstrukturan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah untuk mendapatkan tarif yang munasabah kepada pengguna bukan sahaja di Selangor tetapi juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.  Sebahagian aset yang digunakan oleh Syarikat Konsesi Air telah dibina semenjak zaman Jabatan Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) melalui cukai yang dikutip dari rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.  Maka sewajarnyalah kepentingan rakyat Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dibela iaitu melalui pemberian kadar tarif yang munasabah dan pengguna tersebut selanjutnya tidak dibebankan  dengan kenaikan tarif sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi sedia ada.  Kadar tarif yang munasabah adalah merupakan pulangan kepada pengguna hasil dari pembinaan paip bekalan air yang telah menggunakan cukai yang dikutip dari rakyat.

    Sekiranya penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor ini gagal disebabkan Syarikat Konsesi Air  enggan menerima tawaran yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan dalam salah satu tindakan yang akan diambil iaitu untuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah dalam usaha untuk mendapatkan perintah bagi melindungi kepentingan pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terhadap kenaikan tarif sebagaimana yang telah ditentukan di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS.

  3. Sila nyatakan apakah pendirian Kerajaan Negeri Selangor terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh pihak syarikat SYABAS sebanyak RM308 juta kerana mereka mendakwa mengalami kerugian angkara Kerajaan Negeri tidak membenarkan kenaikan tarif air ?

    Di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS, terdapat peruntukkan bahawa SYABAS boleh menuntut kenaikan  tarif air setiap tiga tahun tertakluk kepada syarat bahawa SYABAS telah mematuhi semua kehendak di dalam Perjanjian Konsesi.  Kenaikan tarif yang baru sepatutnya berkuat kuasa pada Januari 2009.  Sebelum tarif baru dikuatkuasakan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor perlu bersetuju kepada kenaikan tersebut.  Sekiranya kenaikan tarif air tidak dipersetujui, maka Kerajaan Negeri Selangor perlu  membayar pampasan kepada SYABAS mengikut formula yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi.

    Bagi kenaikan tarif untuk tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan sebarang kenaikan tarif sebagaimana yang dipohon oleh SYABAS.  Lanjutan dari tidak mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Selangor, maka SYABAS bercadang untuk menyaman Kerajaan Negeri.  Kerajaan Negeri Selangor masih belum menerima sebarang writ saman dari SYABAS. Kerajaan Negeri Selangor akan menjawab semua tuntutan oleh SYABAS dan mempertahankan pendirian Kerajaan Negeri Selangor bahawa SYABAS tidak wajar diberikan sebarang kenaikan tarif bagi tahun 2009.  Namun semua jawapan tersebut hanya akan dikemukakan setelah writ saman diterima oleh Kerajaan Negeri Selangor dari SYABAS bagi mengenal pasti apakah asas tuntutan sebenar yang dikemukakan oleh SYABAS.

Lampiran

Tiada Lampiran.