Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

191) RUMAH YANG DIJADIKAN ASRAMA PEKERJA ASING DENGAN PENGHUNI YANG RAMAI DI JALAN TERATAI MERU. MENIMBULKAN MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH, LIMPAHAN AIR KUMBAHAN DAN GEJALA BUDAYA LUAR MERUNSINGKAN PENDUDUK TEMPATAN SEJIRAN

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah peraturan dan syarat-syarat MPK yang membenarkan ?

    Majlis Perbandaran Klang menggunapakai seksyen 79, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), yang menyatakan bahawa sesebuah rumah hendaklah disifatkan sebagai sebegitu penuh sesak hingga mendatangkan bahaya atau mudarat kepada kesihatan penduduknya jika rumah itu atau mana-mana bilik di dalamnya didapati diduduki lebih daripada kadar seorang dewasa bagi tiap-tiap tiga ratus lima puluh kaki padu luang dalam bersih dan dalam pengiraan itu tiap-tiap orang berumur lebih daripada sepuluh tahun hendaklah disifatkan sebagai seorang dewasa dan dua orang kanak-kanak berumur tidak lebih daripada sepuluh tahun hendaklah dikira sebagai orang dewasa.

    Dimaklumkan bahawa, Majlis mempunyai syarat–syarat tambahan yang perlu dipatuhi seperti berikut:-

    • Mendapatkan kelulusan dan komen daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Bangunan dan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang;
    • Mendapatkan kelulusan mendirikan ruang bilik dan ‘partition’ daripada Jabatan Bangunan, MPK;
    • Menyediakan kemudahan tandas yang mencukupi; dan
    • Menyediakan tempat masak berasingan.
  2. Bagaimanakah jadual kutipan sampah sedia ada dapat menampung jumlah sampah dibuang di kawasan tersebut?

    Majlis telah menyediakan jadual kutipan sampah (domestic) untuk kawasan tersebut adalah seperti berikut:-

    Bil Perkara Kutipan
    1. Penempatan pekerja asing di kawasan perumahan 3 kali seminggu
    2. Penempatan pekerja asing di lot komersil dan kawasan perniagaan setiap hari
    3. Penempatan pekerja asing di kawasan asrama yang disediakan oleh majikan Di bawah pengurusan dan penyelenggaraan oleh majikan masing-masing.

     

     Majlis juga telah meletakkan tong sampah sebanyak 20 unit (240 liter) di sepanjang Jalan Teratai. Terdapat sejumlah lebih 8,000 penduduk di kawasan tersebut dan dianggarkan sebanyak 3 tan sampah (sehari) yang dibuang di kawasan tersebut. Ini menyebabkan kutipan sampah sedia ada tidak dapat menampung jumlah sampah yang dibuang.

  3. Bagaimanakah MPK menangani kerunsingan dan aduan penduduk sekitar terhadap masalah yang berulang ini?

    Tindakan MPK menangani kerunsingan dan aduan penduduk sekitar terhadap masalah yang berulang ini adalah seperti berikut:-

    • Majlis telah melaksanakan beberapa program Corporate Social Responsibility (CSR) bersama pekilang (Top Glove) sebagai satu pendekatan untuk menyelesaikan masalah aduan ini;
    • Majlis akan melaksanakan pemantauan dan melakukan lawatan aduan secara berkala;
    • Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kawasan Industri (IPMC) yang diadakan, Majlis sering menyarankan kepada pengurusan kilang-kilang untuk membendung gejala agar tidak menimbulkan masalah khususnya kepada masyarakat tempatan; dan
    • Majlis mencadangkan supaya dasar pengambilan pekerja-pekerja kilang warga asing perlu dilihat bersama dengan kesediaan syarikat-syarikat menyediakan tempat kediaman pekerja mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.