Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008

70) RUMAH URUT DAN PUSAT HIBURAN

Tahun: 2008

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar kerajaan negeri Selangor mengenai pembukaan rumah urut dan pusat hiburan baru di negeri Selangor?

    Pada masa kini, kerajaan negeri masih meneruskan dasar-dasar yang diguna pakai oleh kerajaan sebelum ini berhubung pemberian lesen perniagaan rumah urut dan pusat-pusat hiburan yang baru di negeri Selangor. Perkembangan perniagaan rumah urut dan pusat-pusat hiburan adalah dipantau oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan pemberian lesen adalah tertakluk kepada Undang-Undang Kecil UUK Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Selangor) 1995 (Pindaan 2001). Premis yang melanggar syarat-syarat pemberian lesen akan dikenakan tindakan undang-undang.

  2. Apakah syarat-syarat dak kriteria yang dikenakan bagi pembukaan rumah urut dan pusat hiburan di dalam kawasan majlis-majlis perbandaran?

    Asas-asas kriteria pemberian lesen adalah dinilai berdasarkan kepada aspek iaitu premis dan lokasi, bilangan pengasingan jantina, kesihatan dan keselamatan.

    • Premis dan Lokasi
      i) Premis yang boleh dilesenkan adalah hotel kelas 1 (bertaraf 3 bintang dan ke atas), rumah kelab, kompleks perdagangan, kompleks membeli belah dan kedai pejabat sahaja.

      ii) Lokasi premis hendaklah berjauhan daripada kawasan sensitif (kediaman, rumah ibadat dan sekolah). Jarak minima yang dibenarkan adalah sekurang-kurangnya 500 meter.

      iii) Pintu masuk pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan hendaklah diliputi cermin telus bagi satu per empat daripada permukaannya dan pintu itu hendaklah tidak dikunci semasa waktu perniagaan.

      iv) Pemegang lesen tidak boleh menyekat keseluruhan tempat-tempat di dalam pusat kecantikan dan penjagaan kesihatan yang digunakan untuk apa-apa urutan atau rawatan kecantikan atau rawatan bagi memelihara mana-mana bahagian badan dan muka.

      v) Pemegang lesen hanya dibenarkan memasang langsir seperti yang ditentukan oleh PST untuk mengasingkan katil-katil yang digunakan untuk mengurut dan merawat tetapi langsir tidak boleh melebihi dua meter tinggi dari lantai.

    • Bilangan Premis
      Bilangan premis yang boleh dilesenkan adalah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Melesen berdasarkan kemampuan penguatkuasaan PBT masing-masing.
    • Pekerja dan Tukang Urut
      i. Pekerja dan tukang urut hendaklah berpakaian seragam yang tidak menjolok mata.
      ii. Warna dan rekabentuk pakaian seragam ditentukan mengikut kesesuaian oleh PST.
    • Pemeriksaan Kesihatan
      Semua pekerja yang memberi rawatan bagi urutan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan oleh seorang pegawai perubatan enam bulan sekali,
    • Aspek Keselamatan
      i) Faktor keselamatan perlu diambil kira dalam menentukan kesesuaian premis dan lokasi serta bilangan rumah urut yang hendak dilesenkan.
      ii) Ulasan dan perakuan mengenai faktor-faktor keselamatan daripada pihak-pihak berkuasa PDRM adalah diperlukan terlebih dahulu sebelum sesuatu permohonan diluluskan.
    • Daftar Pekerja Dan Pelanggan
      i) Satu buku daftar yang mengandungi nama, no. kad pengenalan, alamat kediaman, gambar dan butiran yang berkaitan dengan pekerja dan tukang urut hendaklah disediakan.
      ii) Satu buku daftar yang mengandungi nama pelanggan, no. kad pengenalan, warganegara, alamat kediaman, tarikh dan masa hendaklah disediakan.
    • Lawatan Pemeriksaan Premis
      Premis dibenarkan beroperasi sehingga pukul 1.00 pagi sahaja.

    SYARAT-SYARAT PEMBERIAN LESEN

    • Borang Permohonan
      Kesemua permohonan hendaklah menggunakan borang yang dikeluarkan oleh PBT.
    • Wang Cagaran
      i) Setiap permohonan dikenakan bayaran cagaran. Wang cagaran tersebut adalah sebagai jaminan kepada pemohon supaya pada setiap masa mematuhi
      peraturan dan syarat-syarat pemberian lesen yang ditetapkan.
      ii) Wang cagaran tersebut akan dirampas (forfeited) apabila pemohon melanggar syarat-syarat atau sekatan lesen itu dan peruntukan-peruntukan enakmen atau mana-mana peraturan yang telah ditetapkan.
      iii) Wang cagaran ditentukan nilainya oleh pihak PBT.
    • Bayaran Lesen
      Bayaran lesen adalah ditetapkan oleh pihak PBT.
    • Jangka Masa Sahlaku Lesen
      a) Jangka masa maksimum sesuatu lesen yang dikeluarkan adalah tiga tahun seperti mana yang di peruntukan di dalam undang-undang yang ada. Tempoh tamat sesuatu lesen adalah pada 31 Disember pada tahun semasa.
      b) Secara prinsip, sesuatu lesen tidak boleh diperbaharui sebagai suatu hak kecuali dibuat melalui permohonan baru. Untuk itu dicadangkan permohonan pembaharuan lesen hendaklah dikemukakan selewat-Iewatnya 3 bulan sebelum tarikh luput lesen.
    • Syarat-Syarat Lesen
      Sesuatu lesen yang dikeluarkan adalah menyatakan dengan jelas syarat-syarat sesuatu rumah urut tersebut. Ini meliputi syarat- syarat seperti berikut :-

      a) Am
      i. Had masa operasi;
      ii. Kebersihan premis;
      iii. Pencahayaan (lighting) dalaman hendaklah sentiasa terang;
      iv. Pengudaraan (ventilation);
      v. Sistem keselamatan; dan
      vi. Semua pengubahsuaian yang dibina mesti mendapat kebenaran
      Jabatan Bangunan PBT dan perakuan Jabatan Bomba.

      b) Khusus
      i. Pekerja asing perlu ada permit dari Jabatan Imigresen dan
      membuat pemeriksaan kesihatan;
      ii. Pengasingan bilik tempat mengurut dengan pintu ayun atau langsir
      kain sahaja yang tidak melebihi ketinggian dua meter;
      iii. Menyediakan maklumatlrekod pekerja dan bersedia menunjukkan
      kepada pegawai pemeriksa apabila diminta. Maklumat yang
      diperlukan ialah nama pekerja, umur, no. kad pengenalan/pasport,
      warganegara dan tahap kelulusan;
      iv. Maklumat pelanggan (nama, alamat, pekerjaan dan tarikh
      kunjungan) hendaklah direkodkan dalm buku khas dan boleh
      ditunjukkan kepada pegawai pemeriksa apabila diminta;
      v. Dilarang mempamir gambar lucah dalam premis urut atau
      sekitarnya;
      vi. Semua tukang urut dan pekerja hendaklah berpakaian seragam
      yang sopan serta tidak menjolok mata;
      vii. Mempamerkan papan tanda pada setiap masa di tempat yang
      mudah dilihat di luar rumah urut ; dan
      viii. Aktiviti pelacuran dilarang sama sekali.

    • Pembatalan Lesen
      Sesuatu lesen boleh dibatalkan oleh Pegawai Pelesenan pada bila-bila masa melalui suatu notis bertulis jika pemegang lesen didapati melakukan pelanggaran mana-mana syarat atau sekatan dan/atau pelanggaran peruntukan undang-undang atau mana-mana peraturan.
  3. Apakah langkah-Iangkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk menghentikan operasi rumah urut dan pusat hiburan haram tumbuh seperti cendawan di kawasan Puchong dan Lembah Klang?

    Langkah-Iangkah yang diambil oleh pihak PST untuk menghentikan operasi Rumah Urut dan Pusat Hiburan Haram adalah dengan membekukan semua permohonan baru bagi aktiviti Rumah Urut dan Pusat Hiburan. Di samping itu, tindakan penguatkuasaan berterusan sentiasa dijalankan oleh PST dan mana-mana premis yang di dapati beroperasi tanpa lesen akan ditutup.

Lampiran

Tiada Lampiran.