Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
39) RUMAH UNTUK GELANDANGAN
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membendung masalah gelandangan di Negeri Selangor?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin membela nasib golongan gelandangan di Negeri Selangor. Bagi orang-orang papa, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah mengambil beberapa tindakan seperti berikut:-
- Menyediakan Rumah Kebajikan sebagai tempat perlindungan dan pemulihan khusus bagi kemasukan orang papa dan peleser yang memerlukan sepertimana di bawah tafsiran Seksyen 2, Akta Orang-Orang Papa 1977 iaitu “ orang papa ertinya seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan kacau ganggu; atau seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan. Sehingga kini terdapat 4 institusi JKM di Negeri Selangor yang telah diwartakan sebagai Rumah Kebajikan;
- Mempergiatkan operasi menyelamat pengemis dan orang papa yang dijalankan secara bersepadu, berjadual dan ad-hoc. Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor pada tahun 2019, sebanyak 430 operasi menyelamat pengemis dan orang papa telah dijalankan oleh JKM dan seramai 563 orang telah berjaya diselamatkan mengikut peruntukan yang ada di dalam Akta Orang-Orang Papa 1977; dan
- Mengadakan kerjasama inter agensi melibatkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen dalam membantu membendung masalah gelandangan.
-
Apakah Kerajaan Negeri boleh membina pusat/ rumah bagi golongan gelandangan?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri setakat ini tidak bercadang untuk membina pusat/ rumah transit bagi golongan gelandangan.
-
Jika ada, apakah cara bagi memohon pusat/rumah gelandangan bagi kawasan Sentosa?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang cadangan bagi penambahbaikan perkhidmatan terhadap golongan gelandangan. Pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa boleh menghantar cadangan penambahbaikan atau kertas cadangan penubuhan pusat/ rumah transit gelandangan bagi kawasan Sentosa kepada Pejabat Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga untuk diperhalusi dan dipertimbangkan.