Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

74) RUMAH TERBENGKALAI DI KOTA DAMANSARA

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan kerajaan untuk memastikan projek ini berjalan semula?

    Untuk makluman Yang Berhormat, di DUN Kota Damansara terdapat 4 projek yang dikategorikan sebagai projek terbengkalai / bermasalah di DUN Kota Damansara. Kerajaan Negeri sentiasa proaktif bertindak sebagai fasilitator/mediator dalam usaha-usaha memulih atau menyelesaikan isu projek terbengkalai atau bermasalah di Negeri Selangor walaupun punca dan bidang kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

  2. Adakah kerajaan bercadang untuk memberikan insentif kepada syarikat penyelamat bagi meneruskan projek ini?

    Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pemaju penyelamat yang berkeupayaan untuk mengambil alih projek-projek terbengkalai di Negeri Selangor dan antara insentif yang diberikan kepada mereka adalah:-

    1. Memudahcara urusan perbincangan dengan semua jabatan teknikal bertujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan;
    2. Berkolaborasi bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan mengadakan mesyuarat Smart Partnership bertujuan mencari dana bagi tujuan melancarkan lagi kerja-kerja pemulihan projek;
    3. Melihat keperluan pindaan komponen pembangunan bagi tujuan menaikkan nilai pembangunan untuk menanggung kos pemulihan projek.
  3. Adakah kerajaan bercadang untuk mengubah perancangan daripada rumah kos rendah kepada kos sederhana bagi memastikan projek ini berjalan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri terbuka untuk meneliti sebarang cadangan pindaan komponen pembangunan sekiranya ianya dapat meningkatkan tahap kebolehlaksanaan pemulihan projek namun perkara ini perlu diteliti dari sudut perundangan khususnya ikatan kontrak pihak-pihak yang berkepentingan dalam projek tersebut terutamanya hak para pembeli. Sekiranya hak mereka dipelihara dan dijaga oleh pemaju penyelamat, Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan cadangan pindaan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.