Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

11) RUMAH SELANGORKU JENIS A (RM42,000) MAMPU MILIK

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak projek yang telah mendapat kelulusan tetapi masih belum dibina lagi?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 1 Oktober 2022 sebanyak 40 projek dengan 10,567 unit Rumah Selangorku (RSKU) Jenis A telah diluluskan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kini masih dalam proses mendapatkan kelulusan pelan pembangunan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

     

  2. Apakah dasar Kerajaan Negeri terhadap kenaikan kos barangan binaan kepada kategori rumah ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, tidak dapat dinafikan sejak penularan wabak Covid 19 melanda negara pada Tahun 2020 sehingga sekarang telah memberi kesan kepada industri pembinaan. Ini menyebabkan harga bahan binaan seperti besi, pasir, simen dan rantaian yang berkaitan dengan pembinaan telah meningkat secara puratanya kepada 9.21 peratus. (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 10 Februari 2022).

    Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam pengawalan harga bahan binaan, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku Harapan & Rumah Idaman MBI) Pasca COVID-19 yang dijangka mampu merancakkan lagi pembangunan hartanah khususnya perumahan mampu milik di Negeri Selangor. Rumah Selangorku Harapan & Rumah Idaman MBI yang dibangunkan ini berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi dan dijual pada harga RM250,000 seunit berserta kelengkapan minimum seperti Kabinet Dapur, Kipas (4 unit), Lampu (disemua ruang) dan Grill (pintu / tingkap).

    Sehingga kini sebanyak 109,272 unit telah diberikan kelulusan untuk pembangunan di seluruh Negeri Selangor dan dijangkakan akan siap secara berperingkat menjelang tahun 2026. Melalui dasar tersebut, Kerajaan Negeri dapat memberikan impak kepada  2 segmen Perusahan Kecil & Sederhana (PKS) di Negeri Selangor iaitu sektor Pembinaan dan Perkhidmatan serta memastikan kelangsungan projek pembinaan oleh pemaju perumahan di Negeri Selangor melalui penciptaan nilai ekonomi sebanyak RM27billion.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memberikan insentif kepada pemaju perumahan di Negeri Selangor yang membangunkan projek Rumah Selangorku melalui Pengecualian Caj Pemajuan sebanyak 100% bagi menggalakkan pembinaan Rumah Mampu Milik bagi tahun 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.