Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

422) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah terdapat perancangan untuk projek Rumah Selangorku di DUN Sungai Kandis? Jika ya, nyatakan lokasi.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pembangunan projek perumahan oleh pemaju – pemaju perumahan khususnya penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) bagi kawasan Daerah Klang, Selangor. Ini kerana syarat / keperluan penyediaan Rumah Selangorku (RSKU) akan ditetapkan ke atas tanah – tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan. Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat 49 projek dengan 26,003 unit RSKU telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di seluruh Daerah Klang yang mana DUN Sungai Kandis terletak di dalamnya. Daripada jumlah tersebut, 9 projek dengan 7,044 unit RSKU telah diluluskan di kawasan Dun Sungai Kandis. Perincian seperti berikut :-

  2. Apakah bantuan kewangan yang disediakan kepada golongan yang tiada punca pendapatan tetap untuk memiliki Rumah Selangorku?

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum mempunyai alternatif dan mekanisme dalam menyediakan pembiayaan bagi membantu golongan yang sukar mendapat pinjaman perumahan / tidak memiliki pendapatan tetap bagi tujuan pembelian Rumah Selangorku. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan atau golongan yang belum bersedia memiliki kediaman sendiri supaya dapat menyewa kediaman yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran iaitu 20% – 30% lebih murah daripada pasaran. Tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama dua (2) tahun dan maksima selama lima (5) tahun.

    Diakhir penyewaan tersebut, pemulangan sebanyak 30% daripada jumlah sewaan yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan untuk tempoh minima selama dua (2) tahun. Dengan pengembalian semula sebanyak 30% wang sewaan kepada pemohon selama tempoh simpanan tersebut bolehlah  bayaran tersebut dijadikan sebagai sebahagian daripada wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri juga melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit.

Lampiran

Tiada Lampiran.