Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
43) RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status pembinaan 200,000 Rumah Selangorku yang dijanjikan di dalam manifesto pilihan raya yang lepas?
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri telah menetapkan sebanyak 200,000 unit akan dibina menjelang tahun 2029. Sehingga 31 Januari 2024, sebanyak 60,843 unit telah dilancarkan dengan sebanyak 37,008 unit telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada para pembeli, manakala baki 23,835 unit sedang dalam peringkat pembinaan.
Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 5,997 unit lagi akan siap dibina manakala sebanyak 17,229 unit rumah akan memulakan pembinaan di lapangan.
Bagi mencapai sasaran tersebut juga, pembinaan Kediaman Komersil seperti Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik akan diambil kira. Oleh itu, sehingga kini sebanyak 12,834 unit sedang dalam pembinaan dan 4,891 unit lagi masih diperingkat perancangan.
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 40,951 unit / 200,000 unit iaitu kira-kira 20% Perumahan Harga Kawalan untuk ditawarkan kepada orang awam untuk tempoh tahun 2024 sahaja.
Oleh yang demikian, sasaran pembinaan 200,000 unit menjelang 2029 akan dapat dicapai kerana rekod bilangan Rumah Selangorku yang telah mendapat kelulusan melebihi 60 ribu sehingga Januari 2024.