Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
208) RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah rumah mampu milik Rumah Selangorku diperuntukan kepada golongan OKU?
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah peruntukan unit OKU bagi Rumah Selangorku dari tahun 2014 sehingga 1 Februari 2023 adalah sejumlah 332 unit.
-
Berapa permohonan daripada OKU yang telah diluluskan sehingga hari ini?
Jumlah kelulusan permohonan kepada golongan OKU adalah seramai 343 orang dari tahun 2014 sehingga 1 Februari 2023. Kerajaan Negeri juga turut memberikan keutamaan tawaran kepada golongan OKU yang berminat untuk memiliki Rumah Selangorku berbanding stok sedia ada yang boleh ditawarkan sebanyak 332 unit. Selain daripada penyediaan unit-unit bagi OKU di tingkat bawah khas untuk golongan OKU yang terhad dari segi pergerakan (mobility impaired), Dasar Rumah Selangorku 3.0 yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri turut mensyaratkan pemaju agar mematuhi keperluan OKU melalui pematuhan garis panduan Malaysia Standard MS1184 “Code of Practice on Access For Disable Person To Public Buildings”. Melalui garis panduan ini, setiap unit Rumah Selangorku yang dibina akan disyaratkan menyediakan kemudahan dan fasiliti mesra OKU bagi membolehkan golongan tersebut mengakses kediaman mereka dan setiap fasiliti yang disediakan dalam sesuatu pembangunan Rumah Selangorku. Oleh yang demikian, golongan OKU yang tidak tergolong dalam kategori mobility impaired boleh memiliki mana-mana unit yang dikehendaki dan tidak terhad di unit di tingkat bawah.
-
Apakah alasan kegagalan pemilikan Rumah Selangorku oleh golongan OKU?
Penolakan tawaran dan kegagalan pemilikan Rumah Selangorku oleh golongan OKU adalah disebabkan oleh kesukaran mendapat pinjaman perumahan daripada institusi kewangan atas faktor jenis pekerjaan yang tidak tetap, faktor umur, keupayaan mendapatkan pinjaman yang tinggi dan memerlukan wang pendahuluan (deposit) yang mencukupi sebelum dapat meneruskan pembelian unit tersebut.