Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

144) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila perincikan jumlah pemohon Rumah Selangorku berjaya atau gagal untuk mendapatkan pinjaman bank tahun 2013-2022 mengikut pecahan umur dan jantina.

    Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah pemohon Rumah Selangorku yang berjaya mendapatkan pinjaman bank dari tahun 2013-2022 adalah seramai 42,114 unit pemohon manakala yang gagal mendapatkan pinjaman bank dan menolak tawaran adalah seramai 38,053 orang.

     

    Berdasarkan rekod daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengikut pecahan umur dan jantina bermula dari tahun 2021 sehingga 1 Julai 2022 adalah seperti berikut :

     

    • Terima Tawaran :

     

    UMUR LELAKI WANITA
    18 – 30 TAHUN 2,438 1,413
    31 – 40 TAHUN 1,597 994
    41 – 50 TAHUN 181 162
    51 TAHUN KE ATAS 50 39
    JUMLAH 4,266 2,608
    KESELURUHAN 6,874
    • Tolak Tawaran :

     

    UMUR LELAKI WANITA
    18 – 30 TAHUN 1,582 1,044
    31 – 40 TAHUN 1,052 706
    41 – 50 TAHUN 148 116
    51 TAHUN KE ATAS 30 34
    JUMLAH 2,812 1,900
    KESELURUHAN 4,712
  2. Untuk mereka yang gagal, berapakah telah ditawarkan skim sewa beli rumah?

    Setakat ini, tawaran untuk mereka yang gagal mendapatkan pinjaman untuk ditawarkan skim sewa beli rumah masih belum dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Dana-Sel dan juga Skim Sewa Milik Selangor / Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) bagi membantu golongan B40 dalam pemilikan kediaman mampu milik.

     

    Antaranya skim tersebut adalah seperti berikut :

     

    • Skim Dana Sel

     

    Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan B40 untuk membeli Rumah Selangorku Jenis A khususnya untuk penempatan setinggan di Rimba Jaya, Seksyen 16, Shah Alam. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) iaitu Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dipertanggungjawabkan untuk menguruskan skim ini. Dengan kaedah pembiayaan sewa milik, ianya merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan.

     

    Skim ini juga telah diperluaskan lagi bermula pada tahun 2022 yang dikenali dengan sebagai Skim ‘Selangorku To Ownership’ (S2-OWN) melibatkan penyelesaian penempatan setinggan seramai 249 penduduk di PJS1, Petaling Jaya. Melalui Bajet 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10.77 juta bagi membuat pembelian unit tersebut dan membantu mereka yang gagal mendapatkan pembiayaan untuk ditawarkan Skim Sewa Milik dan seterusnya membantu ke arah pemilikan kediaman sendiri.

     

    • Skim Sewa Milik Selangor

     

    Skim Sewa Milik Selangor atau Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) merupakan kesinambungan Program Skim Smart Sewa. Ia merupakan insentif baharu Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah sendiri melalui pembiayaan sewa milik daripada Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh LPHS. Secara dasarnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke-2/2022 bertarikh 12 Januari 2022 telah menimbang dan meluluskan cadangan penyediaan dasar dan pelaksanaan Skim “Smart Sewa To Ownership’ (2STAY) atau dikenali Skim Sewa Milik Selangor di Negeri Selangor.

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui LPHS sedang mengadakan kerjasama dengan pihak Maybank Islamik Berhad dengan beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi memperincikan pelaksanaan Skim Sewa Beli sebelum ianya dimuktamadkan dan seterusnya diangkat semula untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

     

    Bagi inisiatif Skim Sewa Milik Selangor, Kerajaan Negeri akan memperoleh sebanyak 3,943 unit rumah secara percuma dengan nilai hartanah sekitar RM 985 juta hasil daripada pembangunan Rumah Idaman dan Rumah Harapan. Unit-unit tersebut akan dijadikan sebagai inisiatif untuk membantu golongan B40 untuk memiliki unit kediaman tersebut dibawah Skim Sewa Milik tersebut.

     

    Sehingga 01 Julai 2022, terdapat 1 projek Rumah Idaman MBI (Idaman Abadi) di Kajang 2, Batu 18 Semenyih yang kini telah mencapai 100% siap pembinaan (Fasa 2) melibatkan keseluruhan pembangunan 2,059 unit dimana sebanyak 70 unit akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri sebagai Skim Sewa Milik Selangor yang dijangka siap pada Ogos 2022.

  3. Berapakah unit RSKU yang dilancarkan belum dijual?

    Jumlah unit Rumah Selangorku yang habis dijual sehingga 01 Julai 2022 adalah sebanyak 41,493 unit manakala baki unit yang masih belum terjual / jumlah pemohon yang masih belum memuktamadkan atau menandatangani perjanjian Jual-Beli adalah sebanyak 6,368 unit.

     

    Berdasarkan baki kekosongan Rumah Selangorku sebanyak 6,368 unit tersebut, proses penawaran nama kepada pemohon telah dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah Selangorku dan Hartanah Harga Kawalan yang diurusetiakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Namun demikian, pemohon tersebut masih dalam proses menyelesaikan urusan pembelian rumah melibatkan proses mengemukakan dokumen untuk semakan dan pengesahan LPHS, proses pengeluaran surat tawaran di LPHS, proses pemilihan unit rumah di peringkat pemaju, dalam proses mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan / bank dan sebagainya sebelum proses perjanjian Jual-Beli ditandatangani. Oleh itu, baki unit kosong tersebut masih dalam proses penjualan kepada pemohon sehingga urusan menandatangani Perjanjian Jual selesai.

     

    Sehingga kini, jumlah permohonan dalam senarai menunggu dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangor (SPPR) masih terdapat 86,518 pemohon berdaftar yang boleh ditawarkan unit kosong akan datang namun kebarangkalian pemohon yang layak dan berjaya mendapatkan pinjaman perumahan dianggarkan seramai 50% iaitu 43,259 pemohon.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.