Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
11) RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah keberkesanan tindakan yang diambil oleh LPHS terhadap aktiviti penyewaan Rumah Selangorku terhadap warga asing dan warga tempatan?
Untuk makluman Yang Berhormat, peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam menangani aktiviti penyewaan Rumah Selangorku (RSKU) adalah tertakluk kepada bidangkuasa yang ada selagimana ia tidak melangkaui peruntukan undang-undang bertulis sedia ada.
Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2013 menyatakan antara syarat kelayakan untuk permohonan pemilikan Rumah Selangorku (RSKU) Jenis B, C dan D ialah pembelian RSKU tersebut adalah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
Walau bagaimanapun, penguatkuasaan dasar di atas tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana apa-apa dasar yang dibuat tidak boleh melangkaui peruntukan sedia ada dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang telah menyatakan hak kepada warganegara Malaysia untuk memiliki harta dan kebebasan untuk berurusan dengan harta tersebut.
Oleh yang demikian, tindakan penguatkuasaan yang akan diambil boleh membawa kepada pertikaian undang-undang kerana ianya berlawanan atau ultra vires dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Selain dari itu, peruntukan undang-undang bertulis yang lain seperti Seksyen 92 dan Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) secara jelas menyatakan bahawa pendaftaran hakmilik atau kepentingan memberikan hak yang tidak boleh disangkal (indefeasible of title) kepada seorang pembeli untuk membuat urusniaga yang dibenarkan di bawah KTN termasuklah tenansi/ penyewaan.
Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan sebarang bentuk pertikaian undang-undang maka LPHS melalui Pekeliling LPHS Bilangan 1 Tahun 2018 yang berkuatkuasa 2 April 2018 tidak lagi menyatakan antara salah satu syarat permohonan RSKU adalah untuk didiami dan bukan untuk disewa.
Walau bagaimanapun, bagi melaksanakan peranan, fungsi dan bidangkuasa LPHS terutama dalam pengawalan pemilikan hartanah RSKU sebagai hartanah harga kawalan maka LPHS dari masa ke semasa turut melaksanakan kawalan terhadap isu-isu berkaitan RSKU.
Untuk makluman Yang Berhormat, LPHS akan mengambil tindakan dengan membuat siasatan di lokasi bagi setiap aduan yang dikemukakan berhubung dengan isu penyewaan RSKU untuk mendapatkan pengesahan terhadap aduan tersebut selaras dengan fungsi dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001 dalam melaksanakan arahan pihak Berkuasa Negeri.
LPHS sentiasa peka terhadap implikasi yang timbul ekoran dari penyewaan oleh pemilik RSKU dengan mengenalpasti elemen-elemen kesalahan yang wujud akibat dari aktiviti penyewaan tesebut. LPHS juga sentiasa berkolaborasi dengan agensi-agensi lain bagi menguatkuasakan tindakan di bawah akta dan peraturan yang berkaitan bagi membendung gejala negatif yang timbul akibat penyewaan.
Antara lain adalah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bagi kesalahan seperti pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram, kepenghunian sesak dan kacau ganggu.
Selain dari itu, LPHS turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor bagi melaksanakan operasi bersepadu sekiranya penyewaan tersebut melibatkan kehadiran warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tindakan terhadap pemilik RSKU juga boleh dikenakan di bawah Seksyen 55(1)(d) iaitu kesalahan memberi perlindungan kepada pesalah imigresen seperti di atas.
Sehingga kini LPHS mendapat kerjasama yang positif daripada setiap agensi yang terlibat dalam mengambil tindakan terhadap salahlaku yang timbul akibat aktiviti penyewaan mengikut peruntukan dan peraturan bertulis di bawah bidang kuasa masing-masing.
Bagi meningkatkan keberkesanan terhadap tindakan ke atas aktiviti penyewaan yang yang memberi impak negatif kepada penduduk sekitar, LPHS turut mengesyorkan agar Pesuruhjaya Bangunan atau Pihak Pengurusan untuk mengambil tanggungjawab sewajarnya bagi menguatkuasakan undang-undang kecil dengan membuat langkah-langkah kawalan di bawah Jadual Ketiga Peraturan–Peraturan Strata 2013 (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015 khusus untuk menjaga kepentingan dan keselesaan penghuni kediaman strata.
-
Adakah pihak Kerajaan Negeri telah merangka undang-undang kecil tambahan yang merangkumi peruntukan mengenakan tindakan punitif kepada pemilik Rumah Selangorku yang menyewakan rumah mereka?
Untuk makluman Yang Berhormat, pemilik Rumah Selangorku melalui Jawatankuasa Pengurusan Bersama perlu mematuhi Undang-Undang Kecil di bawah Jadual Ketiga Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 di mana salah satu fungsi perbadanan pengurusan adalah untuk mentadbir dan menguatkuasa undang-undang kecil dan apa-apa undang-undang kecil tambahan yang diperbuat di bawah Akta. Tindakan punitif iaitu denda boleh dikenakan terhadap mana-mana pemilik yang tidak mematuhi undang-undang kecil dan undang-undang tambahan.
Selain daripada itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah merangka Manual Pengurusan dan Penyenggaraan Rumah Selangorku iaitu satu manual berhubung tatacara seragam pengurusan serta penyenggaraan bagi Rumah Selangorku sebagai langkah pencegahan serta pengawalan daripada permasalahan kepenghunian yang telah dikenalpasti daripada terus berulang. LPHS melalui Pesuruhjaya Bangunan akan mengeluarkan direktif kepada Jawatan kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk menerimapakai Manual ini bagi melengkapi undang-undang kecil tambahan yang terpakai di bawah Akta tersebut asalkan undang-undang kecil tambahan tersebut tidak bercanggah dengan mana-mana Akta, Peraturan atau Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan dan mendapat persetujuan daripada pemilik melalui Mesyuarat Agung Tahunan bagi skim pemajuan tersebut.
Objektif Manual ini adalah sebagai garis panduan dan standard of operation (SOP) kepada pemaju, JMB dan pemilik untuk membolehkan pengurusan dan penyenggaraan dibuat secara teratur dan sempurna. Manual ini juga memberikan pendedahan awal kepada bakal pemilik Rumah Selangorku tentang dasar pemilikan rumah mampu milik Negeri Selangor dan terma kawalan tatacara kepenghunian bagi bertujuan untuk memelihara keselesaan penghuni daripada masalah kacau ganggu, kapasiti penuh sesak dan lain-lain yang boleh mengugat keselamatan dan kenikmatan pemilik skim strata secara khususnya.
Manual ini akan dilaksanakan dan diselaraskan dengan undang-undang berkaitan penyewaan iaitu Akta Sewaan Kediaman setelah ia dimuktamadkan di peringkat Kerajaan Persekutuan kelak.