Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

159) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat aduan bahawa sebahagian unit rumah Selangorku telah disewa ke penduduk tempatan dan juga pendatang asing. Pihak manakah yang akan memantau untuk memastikan semua pemilik rumah Selangorku memang mendiami di unit tersebut dan jika pernahnya memantau, sila memberi laporan pantauan

    Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Bilangan 1 Tahun 2013 mengenai “Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku)” telah menetapkan syarat agar Rumah Selangorku Jenis A, B, C, dan D adalah untuk didiami oleh pemilik dan bukannya untuk disewakan kepada mana-mana pihak lain.

    Bagi  menjawab  persoalan  di   atas   iaitu   berhubung   sebahagian   unit  Rumah Selangorku telah disewakan oleh pemilik kepada pihak lain, pentadbiran ini bersama-sama pihak-pihak yang berkenaan akan merangka mekanisme- mekanisme yang sesuai untuk dilaksanakan agar aktiviti sewaan kepada pihak lain oleh pembeli dapat dikawal disamping kawalan pemilikan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh LPHS dengan menggariskan kelayakan pembeli dalam saringan permohonan di dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangorku (SPPRS) agar hanya pemohon yang benar-benar layak sahaja yang akan diproses dan ditawarkan Rumah Selangorku.

    Dalam usaha merangka mekanisme kawalan terhadap aktiviti sewaan Rumah Selangorku, LPHS perlu memastikan tindakan yang diambil adalah selaras dengan fungsi, peranan dan bidang kuasa LPHS yang diperuntukkan di bawah Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (“Enakmen”) disamping tidak bercanggah dengan undang-undang bertulis lain yang sedang berkuatkuasa.

    Merujuk kepada Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak pemilikan harta dan kebebasan untuk berurusan dengan harta tersebut, timbul persoalan dari segi keesahan tindakan penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh LPHS sekiranya berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap rumah-rumah

    Selangorku yang disewakan kerana tidak terdapat mana-mana peruntukan di dalam Akta atau Enakmen yang membolehkan berbuat demikian melainkan pemilikan rumah Selangorku tersebut adalah di bawah milikan LPHS. Oleh yang demikian, apa-apa tindakan penguatkuasaan yang akan diambil akan membawa kepada pertikaian kerana ianya berlawanan atau ultra vires dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan hak kepada warganegara Malaysia untuk memiliki harta dan berurusan dengan harta tersebut. Manakala dalam Seksyen 233 Kanun Tanah Negara 1965 juga secara tersiratnya memberikan kebenaran terhadap penyewaan di mana penyewaan yang tempoh sewaannya tidak melebihi tiga (3) tahun dibenarkan untuk tidak didaftarkan.

    Walau bagaimanapun, memandangkan unit rumah Selangorku merupakan hartanah harga kawalan, LPHS sentiasa peka terhadap aduan pihak awam berkenaan isu ini di mana setiap aduan akan disiasat secara terperinci sebelum mengambil tindakan secara administratif bersama-sama pihak Badan Pengurusan Bersama / Perbadanan Pengurusan melalui pengenaan beberapa syarat yang difikirkan wajar bagi membenarkan sewaan ke atas Rumah Selangorku yang telah ditawarkan dan dimiliki oleh pembeli.

Lampiran

Tiada Lampiran.