Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

153) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor merancang memajukan projek rumah Selangorku di DUN Sungai Air Tawar?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri masih tiada perancangan khusus di dalam menyediakan/ membangunkan projek Rumah Mampu Milik/ Rumah Selangorku di DUN Sungai Air Tawar ke atas tanah-tanah hak milik kerajaan. Manakala bagi tanah hakmilik swasta/ individu pula, sehingga kini masih belum terdapat pemilik tanah/ pemaju swasta yang mengemukakan sebarang permohonan bagi pembangunan perumahan.

    Namun begitu, terdapat sebanyak 4 projek Rumah Selangorku yang mengandungi 219 unit di Daerah Sabak Bernam yang boleh ditawarkan kepada penduduk DUN Sungai Air Tawar. Senarai projek adalah seperti di Jadual 1.

  2. Adakah Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana pemaju yang ingin memajukan tanah-tanah terbiar milik Kerajaan Negeri di kawasan Sungai Lang, Sungai Air Tawar?

    Sebahagian besar kawasan Sungai Lang merupakan tanah persendirian yang telah mempunyai hakmilik serta kelulusan. Namun, hanya sebahagian kecil sahaja telah diusahakan mengikut kategori dan syarat nyata yang telah diluluskan. Terdapat beberapa plot tanah Kerajaan yang terletak di dalam zoning guna tanah industri yang boleh dilupuskan kepada mana-mana pihak yang layak mengikut Seksyen 43 Kanun Tanah Negara. Buat masa kini, masih tiada perancangan khusus untuk sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pemaju yang ingin memajukan tanah Kerajaan di kawasan Sungai Lang.

  3. Sektor apakah yang diutamakan jika ada syarikat-syarikat yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dan apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada syarikat yang berminat?

    Sektor yang diberikan keutamaan adalah industri, sejajar dengan zon guna tanah bagi plot yang masih berstatus tanah Kerajaan di kawasan Sungai Lang seperti yang ditetapkan di dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam 2025. Buat masa kini, tiada syarat-syar at khusus yang ditetapkan kepada mana-mana pihak namun tertakluk juga kepada syarat yang ditetapkan oleh MDSB.

Lampiran

Tiada Lampiran.