Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

139) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan pekerja-pekerja di Pusat Khidmat DUN memiliki sedikit kelebihan di dalam membeli Rumah Selangorku?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada berhasrat untuk memberikan kuota atau memberikan kelebihan kepada pekerja-pekerja di Pusat Khidmat DUN di dalam membeli Rumah Selangorku. Ini kerana kesemua permohonan pemohon adalah berdasarkan pemilihan merit yang ditetapkan oleh Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangorku di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Di samping itu, pihak Pusat Khidmat DUN boleh membantu membuat hebahan dan mewar-warkan pelaksanaan Skim Rumah Selangorku kepada orang awam agar dapat memberi peluang yang lebih besar kepada golongan B40 dan M40 yang masih belum memiliki kediaman.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan satu tabung/ dana khas bagi membolehkan golongan belia yang baru mendirikan rumahtangga dan B40 membayar wang deposit Rumah Selangorku?

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tiada mewujudkan satu tabung/ dana yang khas bagi membolehkan golongan belia yang baru mendirikan rumahtangga dan B40 untuk membayar wang deposit Rumah Selangorku. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ yang bertujuan memberikan pembiayaan wang pendahuluan (deposit) kepada golongan B40 dan M40 sebanyak 10% ke atas pembelian Rumah Selangorku khususnya pembangunan yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek anak syarikat PKNS sahaja. Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan peruntukan sejumlah RM15 juta untuk skim ini yang akan diuruskan oleh PKNS. Skim ini telah dilaksanakan oleh PKNS dengan kerjasama pihak Maybank Berhad bagi membantu pembeli tersebut untuk mendapatkan pembiayaan dengan mudah dan fleksibel.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.