Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
118) RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menetapkan satu paras harga siling Rumah Selangorku supaya mampu dimiliki oleh belia dan rakyat Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula 02 April 2018 telah menetapkan bahawa harga siling Rumah Selangorku bermula dari RM42,000.00 hingga RM250,000.00 seunit dengan keluasan binaan dari 700 kaki persegi hingga 900 kaki persegi (jenis perumahan bertingkat) manakala 700 hingga 1,000 kaki persegi dan saiz 20’ x 60’ (jenis perumahan teres / bertanah).
Pada masa ini, harga jualan Rumah Selangorku adalah munasabah dan tidak membebankan rakyat Selangor terutamanya dengan penyediaan Rumah Selangorku Jenis A berharga RM42,000.00 dengan keluasan binaan 700 kaki persegi. Walau bagaimanapun, Dasar Rumah Selangorku/ harga jualan Rumah Selangorku akan dikaji dari masa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi semasa supaya ia relevan dengan kemampuan rakyat untuk memiliki rumah termasuk memenuhi golongan belia.
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan satu tabung/ dana bagi membaik pulih rumah-rumah flat yang usang dan telah berusia lebih daripada 40 tahun ke atas?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim CERIA (Caring Goverment For Residents’ Improvement Aid) semenjak tahun 2011 sebagai tabung untuk membantu pihak pengurusan pangsapuri sama ada badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk membaikpulih bangunan termasuk keceriaan pangsapuri. Malahan bermula tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memansuhkan syarat pembayaran balik perkongsian kos daripada penduduk seperti berikut:
BIL. JENIS PANGSAPURI KADAR PEMBAYARAN BALIK PERKONGSIAN KOS 1 Kos Rendah – Harga Belian Pertama Dengan Pemaju
RM42,000.00 ke bawah
20% 2 Kos Sederhana Rendah/Sederhana -Harga Belian Pertama Dengan Pemaju RM42,001.00 sehingga RM250,000.00
40% Syarat permohonan Skim CERIA adalah seperti berikut:
- Permohonan hanya boleh dibuat oleh JMB, MC atau ejen pengurusan yang dilantik oleh COB.
- Harga pangsapuri semasa pembelian pertama (pembelian dengan pemaju) adalah di bawah RM150,000.00. (seperti yang tercatat di dalam perjanjian jual beli).
Justifikasi penetapan syarat permohonan hanya boleh dibuat oleh JMB, MC atau ejen pengurusan yang dilantik oleh COB bagi memastikan bantuan baikpulih bangunan yang diberi oleh Kerajaan Negeri dinikmati dan dijaga baik oleh penduduk di bawah seliaan JMB, MC atau ejen pengurusan yang dilantik oleh COB, PBT.
Selain itu, bantuan bagi membaik pulih rumah-rumah flat yang usang dan telah berusia lebih daripada 40 tahun ke atas boleh juga dipohon kepada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.