Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

44) RUMAH-RUMAH KOSONG DAN TERBENGKALAI

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap rumah-rumah kosong yang terbiar dan terbengkalai sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sarang penagih dadah?

    Kerajaan Negeri melalui PBT menjalankan penguatkuasaan di bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan dikeluarkan kepada pemilik/pemunya untuk membersihkan kawasan mereka. Sekiranya ingkar notis, kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh PBT dan segala kos yang terlibat akan dituntut daripada pemilik.

     

    Bagi pendekatan jangka pendek, PBT menjadikan amalan kerja membersihkan rumput dan semak samun di rumah-rumah kosong yang terbiar dan terbengkalai sebanyak dua (2) kali dalam tempoh setahun bagi mengelakkan kacauganggu di kawasan perumahan tersebut. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri boleh mengarahkan PBT melaksanakan tindakan berpandukan akta dan undang-undang yang sedia ada adalah seperti yang berikut iaitu:

    Seksyen 74, Akta Kerajaan Tempatan, 1976

    • “Mana-mana pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah, bangunan atau tanah, sama ada layak diduduki oleh tenan atau tidak, yang membiarkan rumah, bangunan atau tanah itu atau mana-mana bahagiannya berada dalam keadaan kotor dan tidak baik atau dilitupi oleh tumbuh-tumbuhan rimbun dan mudarat melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”

     

    • Majlis boleh mengambil tindakan pendakwaan terhadap sama ada kepada pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah sekiranya didapati rumah mereka dibiarkan di dalam keadaan-keadaan yang dinyatakan di dalam Seksyen tersebut.

     

    Seksyen 75, Akta Kerajaan Tempatan, 1976

    • Seksyen 75(1) menyatakan antara lain bahawa Pegawai Kesihatan atau mana-mana pegawai Majlis yang diberi kuasa secara bertulis boleh memasuki dan memeriksa semua rumah dan bangunan pada bila-bila masa dan boleh dengan suatu perintah bertulis mengarahkan penduduknya untuk suatu tempoh yang ditetapkan untuk mencuci rumah atau bangunan.

    Seksyen 37, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan, 1974

    • Seksyen 37(1) menyatakan bahawa PBT boleh dengan notis secara bertulis menghendaki pemunya atau penduduk tanah di mana rumput atau tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di atasnya adalah dalam keadaan merbahaya atau mudah terbakar atau mungkin menjadi merbahaya kepada nyawa atau harta sekiranya ia terbakar mengkehendaki mereka membuangnya daripada tanah tersebut untuk suatu tempoh yang ditetapkan. Sekiranya pihak pemunya atau penduduk gagal berbuat sedemikian dalam tempoh masa yang ditetapkan Majlis boleh menjalankan kerja-kerja yang dinyatakan di dalam notis dan kemudiannya menuntut kos daripada pihak pemunya atau penduduk.

Lampiran

Tiada Lampiran.