Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

119) RUMAH PPRT DAN BANTUAN LAIN

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang dikeluarkan (dalam Ringgit Malaysia dan jumlah rumah) bagi pembinaan rumah PPRT di Selangor dan DUN Meru khasnya pada tahun 2009?

    Program Kerajaan Prihatin atau bantuan rumah PPRT adalah salah satu program
    Kerajaan Negeri dalam usaha membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan
    untuk memiliki rumah yang selesa didiami. Pada tahun 2009, Jawatankuasa Tetap
    Kerajaan Prihatin telah meluluskan sebanyak 133 buah rumah untuk dibina baru dan
    139 buah rumah untuk dibaik pulih. Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah
    sebanyak Rm5,040,952.00.
    Bagi daerah Klang, sebanyak 44 permohonan telah diluluskan dan diberi bantuan iaitu
    31 buah bina baru dan 13 buah dibaik pulih dengan peruntukan sebanyak
    Rm959,882.00. Daripada 44 permohonan tersebut, sebanyak 4 permohonan telah
    diluluskan untuk DUN Meru iaitu 2 Bina Baru dan 2 Baik Pulih.

  2. Apakah bantuan yang lain yang sesuai yang boleh diberikan untuk golongan miskin ini?

    Terdapat beberapa program yang diadakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberi
    bantuan kepada golongan miskin ini melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja
    Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.
    Antaranya ialah Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu program yang
    memberi bantuan berupa peralatan atau mesin yang diperlukan berdasarkan
    perusahaan atau perniagaan yang sedang dijalankan seperti Jahitan, Perniagaan
    Runcit, Perniagaan Makanan dan sebagainya. Program Blueprint ini juga bertujuan
    untuk meningkatkan pendapatan kumpulan sasar iaitu golongan miskin dan
    berpendapatan rendah.
    Selain itu, Kerajaan Negeri juga menawarkan Program Bantuan Kesihatan kepada
    golongan miskin dan berpendapatan rendah. Program ini bertujuan untuk meringankan
    beban golongan yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan rawatan
    kesihatan yang semakin meningkat. Skim ini membiayai kos rawatan perubatan bagi
    penyakit katarak, pembedahan kecil (minor surgery) dan dialisis buah pinggang.
    Permohonan boleh dilakukan melalui JKKK, Pejabat-pejabat DUN, Pejabat Daerah dan
    Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.