Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

138) RUMAH PEMILIKAN ASING

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peningkatan rumah pemilikan asing selepas Kerajaan Negeri menurunkan syarat pemilikan.

    Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 1/2020 bertarikh 8 Januari 2020 telah menimbang dan bersetuju untuk melaksanakan satu (1) program khas berkenaan penjualan hartanah kepada warganegara asing bermula 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2020.

    Program Khas tersebut merangkumi perkara-perkara seperti berikut;

    1. Kenaikan kuota daripada 10 peratus kepada 20 peratus daripada kuota/unit Bukan Bumiputera bagi keseluruhan kelulusan pembangunan;
    2. Hartanah kediaman berstatus Leasehold sahaja;
    3. Penurunan paras harga minimum daripada RM2,000,000.00 kepada RM1,500,000.00 bagi hartanah jenis Strata termasuk Landed Strata;
    4. Penetapan paras harga minimum bagi hartanah jenis Landed adalah bernilai RM2,000,000.00 dan terhad kepada unit banglo, Semi-D dan unit-unit yang belum terjual sehingga 2018; dan
    5. Unit-unit yang terlibat adalah unit-unit yang tidak terjual dan telah mendapat kelulusan Cetificate of Completion and Compliance (CCC) sehingga tahun 2018 sahaja dan dengan pengenaan tempoh pajakan selama 60 tahun dengan sekatan kepentingan oleh Pihak Berkuasa Negeri

     

    Walau bagaimanapun, sehingga kini hanya terdapat satu (1) permohonan yang diterima di daerah Kuala Selangor.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri mengawal pemaju dari membina rumah mewah sehingga menyebabkan berlaku lambakan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak mengawal pemaju untuk membangunkan/ membina rumah mewah dan ianya terpulang kepada pemaju itu sendiri melalui kajian- kajian seperti ‘Feasibility Study’ dan permintaan pasaran setempat.

    Walau bagaimanapun, menyedari permasalahan lambakan rumah mewah ini, Kerajaan Negeri bercadang supaya satu Task Force ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor bagi melihat semula polisi pemilikan hartanah oleh warga asing supaya ianya lebih komprehensif dengan mengambilkira perkembangan ekonomi dan juga kesan pendemik Covid 19.

    Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menjadi urusetia Task Force ini bagi menyelaraskan data hartanah harga bebas yang tidak terjual (overhang units) di Negeri Selangor dan seterusnya merangka langkah-langkah bagi membendung isu lambakan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.