Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

292) RUMAH PEKERJA LADANG

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri setakat hari ini dalam menyelesaikan isu rumah pekerja ladang?

    Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Melawati di atas keprihatinan dalam bertanyakan soalan melibatkan kebajikan bekas – bekas pekerja ladang di negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Melawati, pemilikan rumah sendiri menjadi satu keperluan dan aset terpenting bagi setiap keluarga. Justeru itu, tidak dinafikan bahawa isu perumahan merupakan salah satu isu utama yang dihadapi oleh bekas – bekas pekerja ladang di negeri Selangor yang sering dibangkitkan. Pekerja ladang dan bekas pekerja ladang boleh dikategorikan sebagai antara golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang di negeri Selangor telah bersara daripada kerja – kerja sektor perladangan dan tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri. Semasa khidmat mereka sebagai pekerja ladang, kebiasaannya majikan telah menyediakan kemudahan asas termasuklah kuarters perumahan di kawasan ladang selagi mana mereka masih berkhidmat di ladang tersebut dan kemudahan tersebut perlu dipulangkan semula selepas mereka telah bersara.

     

    Salah satu punca bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini tidak memiliki rumah adalah disebabkan kurangnya pendedahan dan kesedaran tentang pentingnya memiliki rumah sendiri disamping kos pemilikan sebuah rumah sendiri adalah diluar kemampuan mereka kerana pendapatan mereka yang rendah. Kebanyakan daripada mereka hanya meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang lebih selesa mendiami rumah kuarters yang telah disediakan oleh majikan pada ketika itu.

     

    Oleh yang demikian, sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menyewa rumah dengan kadar yang mahal bagi menempatkan keluarga mereka. Terdapat segelintir daripada bekas – bekas pekerja ladang terpaksa menjadi peneroka tanah kerajaan tanpa kebenaran untuk dijadikan sebagai tapak perumahan dan penempatan bagi meneruskan kehidupan mereka.

     

    Turut terkesan daripada perkembangan ekonomi dan pembangunan yang begitu pesat, kawasan – kawasan ladang turut menjadi tumpuan bagi membangunkan kawasan berkenaan dengan pembangunan yang lebih moden dan tersusun. Secara tidak langsung, pekerja ladang dan bekas pekerja ladang terpaksa berpindah keluar daripada kawasan berkenaan bagi memberi ruang kepada pembangunan baru tersebut.

     

    Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board (ELB) sentiasa berusaha dan berbincang bagi mendapatkan bantuan – bantuan seumpamanya untuk mengatasi masalah melibatkan pemilikan rumah kepada bekas – bekas pekerja ladang di kawasan ladang yang akan dibangunkan. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak dapat mengarahkan dan membantu secara mutlak berhubung semua isu pemilikan perumahan oleh pekerja ladang dan bekas – bekas pekerja ladang memandangkan terdapat perjanjian yang dipersetujui di antara majikan, pekerja ladang dan pemaju yang berkenaan adalah merupakan diluar kawalan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board sentiasa memohon bantuan perumahan pekerja ladang diwajibkan kepada setiap majikan dan pemaju bagi membela nasib bekas pekerja ladang yang terlibat.

     

    Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) diwujudkan khusus untuk membantu rakyat dengan tidak mengira kaum untuk mendapatkan sebuah aset kediaman dengan harga yang mampu milik. Permohonan bagi mendapatkan Rumah Selangorku adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor berdasarkan kelayakan.

  2. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan pekerja ladang mendapat jumlah pampasan faedah berhenti kerja yang munasabah dan bermaruah?

    Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu melibatkan pekerja ladang di negeri Selangor. Walau bagaimanapun, kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad melibatkan suatu perkara sekiranya perkara tersebut terletak di luar bidang kuasa terutamanya melibatkan pemilikan ladang yang baharu. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berunding dengan pemilik ladang asal dan majikan baharu bagi memastikan pekerja ladang berkenaan mendapat jumlah pampasan faedah berhenti kerja yang munasabah dan bermaruah serta tidak merugikan mana – mana pihak tertakluk kepada peraturan dan perundangan yang berkuatkuasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.