Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

177) RUMAH MAMPU MILIK SELANGORKU

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci perkembangan pembinaan rumah mampu milik Selangorku?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Dasar Rumah Selangorku telah mula diperkenalkan pada tahun 2014. Secara keseluruhannya sebanyak 121,551 unit Rumah Selangorku (RSKU) telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sehingga 31 Oktober 2021. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 24,428 unit RSKU telah siap dibina, 16,655 unit sedang dalam pembinaan dan baki sebanyak 80,468 unit masih di dalam peringkat perancangan.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan pembinaan rumah Selangorku yang telah diluluskan dapat dibina?

    Di antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan pembinaan Rumah Selangorku yang diluluskan dapat dibina adalah seperti berikut: –

     

    1. Pemaju adalah dikehendaki untuk mengemukakan jadual perlaksanaan projek sebaik kelulusan pembangunan di berikan oleh Kerajaan Negeri seterusnya projek tersebut akan dipantau secara berkala oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
    2. LPHS menjalankan pemantauan secara berkala terhadap pembangunan RSKU yang telah mendapat kelulusan sehingga pembangunan tersebut siap dan mendapat kelulusan CCC.
    3. Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) yang mana fungsinya adalah seperti berikut: –

     

    • Mengenalpasti isu – isu berbangkit dan memastikan pemaju mematuhi syarat-syarat pembangunan projek    Rumah Selangorku             seperti mana yang diluluskan oleh    Pihak Berkuasa Negeri.
    • Menjadi pemudah cara bagi mendapatkan penyelesaian berkaitan masalah teknikal dalam pembangunan yang          dihadapi oleh pemaju pihak pemaju dengan jabatan            kerajaan atau syarikat pembekal dan utiliti.
    • Membuat pemantauan yang khusus kepada projek yang didapati lewat dibina yang mana pihak pemaju    dipohon untuk mengemukakan pelan tindakan pemulihan projek kepada pihak jawatankuasa.
    • Mengesyorkan arahan drastik seperti pembekuan atau “stop work order” serta tindakan kaveat pendaftar ke atas        tanah milik pemaju sekiranya pemaju didapati sengaja  melewat-lewatkan pembinaan Rumah Selangorku
  3. Nyatakan sebab kegagalan pembinaan Rumah Selangorku?

    Di antara isu – isu utama yang menyebabkan pemaju gagal untuk memulakan pembinaan Rumah Selangorku adalah seperti berikut: –

     

    1. Projek yang ditawarkan oleh pihak pemaju tidak mendapat sambutan oleh orang awam disebabkan persaingan dengan pemaju lain seterusnya menyebabkan kelewatan pembinaan di lapangan.
    2. Terdapat isu fizikal tanah seperti mendapan yang menyebabkan pihak pemaju terpaksa memberhentikan pembinaan di lapangan bagi tujuan membaikpulih struktur tanah.
    3. Pemaju dikehendaki mengkaji kaedah yang sesuai berkenaan pembangunan untuk disesuaikan dengan permintaan serta bantahan oleh penduduk sekitar.
    4. Kelewatan disebabkan pemaju masih lagi tidak menyelesaikan isu di tapak seperti pemindahan infrastruktur, bangunan asing atau penempatan haram.
    5. Isu pengambilan tanah / pencantuman tanah mengambil masa yang panjang
    6. Pemaju menghadapi kesukaran memperoleh pinjaman bank bagi membiayai kos pembangunan projek.
    7. Pemaju menangguhkan pembangunan di tapak memandangkan pembangunan sekitar di tapak mereka masih belum matang.

Lampiran

Tiada Lampiran.