Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

1) RUMAH MAMPU MILIK SELANGORKU

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan perkembangan terkini pembinaan RMM Selangorku.

    Daripada tahun 2010 sehingga kini, sebanyak 138 projek berjumlah 62,516 unit telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 2,546 unit telah siap dibina manakala sebanyak 20,254 unit sedang dibina.

    Pada Mac 2015, terdapat 14 projek berjumlah 20,008 unit dan Pada 2016 terdapat 2 projek berjumlah 1,550 unit Di bawah Skim Insentif Galakan Rumah Selangorku telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor. Status Kemajuan adalah seperti di lampiran A.

    Perkembangan pembinaan Rumah Selangorku sentiasa dipantau rapi dan dilaporkan setiap bulan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melalui Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Rumah Selangorku Negeri Selangor yang terdiri daripada pihak PBT, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) dan lain-lain agensi. Pihak Jawatankuasa komited mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju terhadap perancangan mereka setelah kelulusan MMKN dikeluarkan tentang permasalahan yang timbul.

    Pihak pemaju digesa menyegerakan pembinaan Rumah Selangorku bagi membolehkan kelulusan Kebenaran Merancang pembangunan lain dapat dikeluarkan dan dibina bersekali dengan pembangunan Rumah Selangorku. Isu kelulusan dan pembinaan Rumah Selangorku berjalan lancar kerana pihak PBT dan lain agensi komited mempercepatkan proses kelulusan.

  2. Sila nyatakan apakah kekangan dan cabaran yang dihadapi.

    Terdapat beberapa kekangan dan cabaran dalam melaksanakan pembinaan Rumah Selangorku di Negeri Selangor antaranya berikut :-

    1. Kenaikan Harga Barangan Pembinaan

    Pemaju menegaskan mereka dibebani dengan kenaikan harga batu bata, simen dan pasir yang secara tidak langsung akan meningkatkan kos- kos lain seperti kos pengangkutan, dan kos infrastruktur.

    1. Pengenaan Kadar premium tanah

    Pemaju menegaskan kadar premium tanah yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) agak tinggi iaitu berdasarkan kepada pasaran harga semasa.

    • Pengenaan Caj-Caj / Bayaran Caruman

    Berdasarkan semakan lebih daripada 30 jenis bayaran / caj yang akan dikenakan oleh pihak berkuasa kepada pemaju bagi sesuatu pembangunan. Caj-caj ini termasuklah yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-Jabatan Teknikal dan juga termasuklah Agensi-Agensi Teknikal Swasta.

    • Kos Infrastruktur

    Hasil tinjauan yang pernah dijalankan, kebanyakan pemaju merasakan kos infrastruktur merupakan faktor yang paling utama terhadap peningkatan kos pembangunan projek. Ini kerana pemaju perlu menyempurnakan segala kemudahan infrastruktur dan utiliti seperti penyediaan jalan keluar masuk, penyediaan kemudahan dan bekalan air yang sempurna (SYABAS – seperti laluan paip dan tangki air), penyediaan kemudahan dan bekalan elektrik (TNB – seperti laluan kabel elektrik, penyediaan pencawang masuk elektrik) dan penyediaan kemudahan dan sistem pembentungan (IWK – penyediaan Sistem Kumbahan STP).

  3. Sila kemukakan perbandingan harga dan proses pembinaan Rumah Selangorku dengan RMM PRIMA di Negeri Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, harga jualan Rumah Selangorku adalah berdasarkan Pekeliling Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku) Bilangan 1 Tahun 2013 yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 1 Januari 2014 manakala RMM PR1MA adalah berdasarkan penubuhan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012. Berikut merupakan perbandingan harga di antara Rumah Selangorku dan RMM PR1MA seperti di Jadual 1.

    Jadual 1 : Perbandingan Harga Jualan Rumah Mampu Milik

    Jenis Rumah Mampu Milik Harga Jualan (RM)
    Rumah Selangorku 42,000.00 – 250,000.00
    RMM PR1MA 100,000.00 – 400,000.00

    Bagi proses pembinaan Rumah Selangorku dan RMM PR1MA di Negeri Selangor adalah seperti berikut :

    Rumah Selangorku RMM PR1MA
    Proses pembinaan / penyediaan Rumah Selangorku adalah mengikut kuota pembangunan / keluasan pembangunan. Peruntukan kuota Rumah Selangorku dikenakan bagi pembangunan yang berkeluasan melebihi 2.00 ekar dan ke atas di zon 1 pembangunan dengan minima penyediaan 20%. Di zon 2 pembangunan adalah melebihi 5.00 ekar dengan penyediaan 20% manakala di zon 3 pembangunan adalah melebihi 10.00 ekar dengan penyediaan 40%. Penetapan penyediaan Rumah Selangorku di dalam pembangunan RMM PR1MA adalah mengikut keluasan dan zon pembangunan Rumah Selangorku. Peratusan penyediaan Rumah Selangorku akan dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah

    Selangorku sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk kelulusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.