Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

186) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti untuk menjalankan projek perumahan mampu milik mengikut pecahan PBT bagi tahun 2008 hingga 2012.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui PKNS telah mensasarkan untuk membina sejumlah kira-kira 11,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun dari tahun 2011 hingga tahun 2016 dan tambahan 10,000 unit lagi untuk tempoh 5 tahun yang berikutnya.

    Selain projek perintis di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, PKNS juga telah mengenalpasti beberapa lokasi bagi pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor Konsep Baru iaitu di Kg. Seri Temenggong di Gombak, Seksyen U10 Shah Alam, Taman Sains Selangor 2 di Sepang, Kota Puteri di Kuala Selangor, Antara Gapi dan Bernam Jaya di Hulu Selangor.

    Bagi tujuan yang sama, PKNS juga sedang mengadakan rundingan dengan pemaju-pemaju swasta lain bagi mengadakan koloberasi dalam membangunan projek perumahan mampu milik di tapak pembangunan milik pemaju-pemaju swasta ini. Melalui inisiatif ini, disasarkan sebanyak 30,000 lagi unit rumah mampu milik akan dibina untuk tempoh 15 tahun.

  2. Siapakah golongan sasaran untuk projek perumahan mampu-milik ini dan jabatan manakah yang bertanggungjawab untuk memantau serta menentukan lokasi untuk dijalankan projek perumahan mampu milik.

    Golongan sasaran bagi pelaksanaan projek rumah mampu milik ini adalah untuk pembeli kali pertama khususnya untuk golongan muda di bawah umur 35 tahun yang berpendapatan sederhana di antara RM2,500 sehingga RM5,000 sebulan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menetapkan setiap pemohon yang berminat untuk memiliki rumah mampu milik baru yang diperkenalkan ini wajib berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Pendaftaran ini penting selain sebagai langkah pengawalan ia juga bagi memudahkan perancangan dibuat dalam mengenalpasti keperluan penyediaan mampu milik bagi sesuatu kawasan. Setakat ini seramai 1,850 pemohon yang telah berdaftar dengan LPHS sejak Projek Perumahan Mampu Milik Selangor ini dilancar pada 3 Jun 2011 oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar.

     

  3. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk mengawal jumlah dan harga rumah di negeri Selangor supaya mampu dibeli dan didiami oleh golongan berpendapatan menengah rendah?

    Melalui Dasar Pembangunan Tanah sedia ada Kerajan Negeri telah menetapkan pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah (RKR), 20% Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) dan 10% Rumah Kos Sederhana (RKS) manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% RKR, 10% RKSR dan 10% RKS. Manakala bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% RKS akan dikenakan bagi kawasan Lembah Klang. Semua jenis-jenis rumah ini dikawal harga jualan berdasarkan kriteria seperti berikut:

    Kawasan Jenis Bangunan Harga (RM)
    Dalam kawasan Majlis Perbandaran (Lembah

    Klang)

    20% rumah kos rendah 42,000.00
    20%     rumah kos             sederhana rendah 72,000.00
    10% rumah kos sederhana 100,000.00
    Lain-lain           jenis     bangunan kediaman Bebas
    Dalam kawasan Majlis Daerah 20% rumah kos rendah 35,000.00
    20%     rumah kos             sederhana rendah 60,000.00
    10% rumah kos sederhana 85,000.00
    Lain-lain           jenis     bangunan kediaman Bebas

    Selain daripada menggunapakai dasar pembangunan sedia, Kerajaan Negeri ketika ini sedang berusaha menyediakan dasar baru bagi penyediaan rumah mampu milik di mana, pemaju perlu menyediakan 10% rumah kos rendah dan kemudiannya dikuti dengan 30% rumah mampu milik atau 20% rumah kos rendah dan 20% rumah mampu milik yang mana bergantung kepada sesuatu kawasan. Melalui cara ini sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan penyediaan rumah di bawah harga RM120,000 yang mampu dibeli di samping rumah harga bebas  yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.