Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

103) RUMAH MAMPU MILIK

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membina rumah mampu milik melalui peruntukan RM 100 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2014 ?

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan Negeri melalui YAB Dato’ Menteri Besar pada sesi Dewan yang lepas telah mengumumkan penggunaan Rizab Negeri berjumlah RM430 juta bagi membiayai enam (6) inisiatif utama iaitu termasuk sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pembinaan rumah mampu milik. Berdasarkan kepada keputusan tersebut, Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa RM100 juta tersebut akan dijadikan sebagai modal / tabung pusingan yang diurus dan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Untuk tempoh dari tahun 2014 – 2018, LPHS telah mensasarkan untuk membina tidak kurang 5,000 unit Rumah Mampu Milik yang dikenali sebagai Rumah Selangorku yang merangkumi kesemua sembilan (9) buah daerah di Negeri Selangor.

    Sebagai langkah permulaan, Projek Perintis Rumah Selangorku ini akan dibangunkan di atas sebahagian tanah milik Menteri Besar Incorporated (MBI) di Taman Ukay Indah, Sungai Sering Mukim Hulu Kelang Daerah Gombak yang berkeluasan kira-kira 33 ekar (daripada keseluruhan 68 ekar). Cadangan pembangunan tersebut akan dibangunkan dengan kaedah Industrial Building System (IBS) bagi mempercepatkan tempoh pembinaan yang akan mengandungi sebanyak 2,496 unit rumah yang terdiri daripada dua (2) jenis saiz iaitu 900 kp dan 1,000 kp. Pelancaran Projek Perintis dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara MBI (Tuan Tanah) dengan LPHS (Penyelaras Projek / Pemaju) Serta Penyerahan Surat Niat Perunding Pengurusan Projek (PMC) Antara LPHS dengan Eco World Development Berhad (PMC / Kontraktor IBS) Rumah Selangorku ini telah pun disempurnakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada       22 Februari 2014 dengan kos keseluruhan projek dianggarkan sebanyak RM615 juta. Kerjakerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada bulan Ogos 2014 sebaik sahaja urusan pelantikan kontraktor-kontraktor melalui Tender Terbuka selesai dibuat dan pelan-pelan kelulusan diperolehi daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan ianya dijangka siap secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.

    Di samping projek perintis tersebut, langkah seterusnya yang diambil olehKerajaan Negeri adalah dengan mengenal pasti tanah-tanah milik Kerajaan Negeri atau anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan juga termasuk tanah milik swasta yang bersesuaian di setiap Daerah untuk dibangunkan dengan Rumah Selangorku ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.